mutakhir

Koperasi selia kantin

Oleh Siti Nor Amirah Abu Bakar

Klang: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) mencadangkan kantin sekolah diletakkan di bawah kelolaan koperasi bagi mencapai sasaran 50 koperasi sekolah dengan perolehan RM1 juta setahun menjelang 2020.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, jika koperasi sekolah diberi mandat menguruskan kantin, sasaran itu akan dapat dicapai dengan mudah.

“Kami akan mencadangkan kepada kerajaan supaya kantin sekolah diuruskan oleh koperasi supaya lebih banyak manfaat dapat dirasai semua pihak.

“Pengusaha kantin tak perlu bimbang kerana ia tidak akan mengganggu pengusaha sedia ada, sebaliknya jika ini dapat direalisasikan, ia bakal mempercepatkan kita mencapai sasaran ditetapkan,” katanya ketika ditemui pada Taklimat Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah (AKKS 2017) di sini, semalam.

Abdul Fattah berkata, setakat ini lebih 30 koperasi sekolah di Selangor mencapai perolehan lebih RM500,000 hasil daripada jualan peralatan dan kelengkapan sekolah.

Beliau berkata, pihaknya mencadangkan kerajaan supaya mempertimbangkan pelantikan guru khas koperasi sekolah yang boleh memberi sepenuh tumpuan dan masa kepada pengurusan koperasi.

“Pelantikan guru khas ini penting kerana guru ini memberikan sepenuh masa terhadap pengurusan dan perjalanan koperasi.

“Setakat ini, sebanyak 272 sekolah di negeri ini mempunyai koperasi yang sangat aktif dan berjaya meraih perolehan tinggi saban tahun,” katanya.

Sehingga kini, daripada 2,349 koperasi sekolah seluruh negara, empat koperasi berjaya mencapai sasaran berkenaan.

Antaranya ialah koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota, Kota Bharu, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas, Pulau Pinang dan SMK Sibu, Sarawak.

Disiarkan pada: January 28, 2017 @ 5:14am
d