mutakhir

100 gigit jari

Oleh Mohd Shukor Amin

Sabak Bernam: Lebih 100 pesawah di Parit 4 Sungai Panjang, dekat sini berdepan kerugian besar apabila tanaman yang hanya menunggu masa untuk dituai musnah dilanda banjir.

Pesawah, Mohd Ali Osman, 41, berkata, tanaman padinya seluas 1.2 hektar di kawasan itu ditenggelami air sedalam 0.4 meter sejak Isnin lalu.

Menurutnya, tanaman padinya yang berusia 120 hari itu dijangka boleh dituai minggu lalu, namun semuanya terbantut apabila kawasan sawah dinaiki air akibat hujan berterusan.

“Sudah lebih 10 hari padi tak boleh dituai. Jika dilihat keadaan pokok padi, kebanyakannya musnah,” katanya.

Mohd Ali berkata, pesawah berdepan kerugian teruk pada musim tanaman kali ini apabila mereka bukan saja dilanda banjir, malah tanaman mereka rosak akibat diserang penyakit hawar daun bakteria (BLB) sejak November lalu.

“Sebelum ini, padi kami diserang bakteria, kali ini banjir pula...pelbagai dugaan terpaksa kami lalui pada musim ini,” katanya.

Pesawah lain, Mohd Zainal Arbi, 45, berkata, banjir kali ini menyebabkan tanaman yang diusahakannya itu mengalami kerugian 80 peratus.

“Biasanya hasil padi boleh cecah antara lapan atau sembilan tan matrik sehektar tetapi dalam keadaan ini hasil dijangka merosot teruk,” katanya yang meminta pihak berkuasa memandang serius isu berkenaan.

Disiarkan pada: January 28, 2017 @ 5:15am
d