mutakhir

Mat rempit mengaku tunggang melulu

Oleh Siti Sofia Md Nasir

Balik Pulau: Dua mat rempit mengaku bersalah di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Juvana, di sini, semalam atas kesalahan menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pada 21 Januari lalu.

Tertuduh, Muhammad Ridhwaan Zulkiflee, 19, dan rakan berusia 17 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nur Azzuin Abdul Moati.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-duanya didakwa menunggang motosikal secara melulu serta mendatangkan bahaya kepada orang awam di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, kira-kira jam 3 pagi pada 21 Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 42(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000.

Terdahulu, Nur Azzuin menetapkan 21 Februari kepada Muhammad Ridhwaan bagi tarikh sebutan semula kes dan penyerahan laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Nur Azzuin menetapkan jaminan RM1,500 kepada Muhammad Ridhwaan dengan seorang penjamin.

Disiarkan pada: January 28, 2017 @ 5:21am
d