mutakhir

Orang Asli resah isu banjir lumpur tak selesai

Oleh myMetro

Gua Musang: Episod hujan berterusan dan ada kalanya lebat sejak minggu lalu menambah kesulitan bagi penduduk Orang Asli di Tanah Tinggi Lojing di sini, berikutan berlaku banjir lumpur.

Keadaan itu menyebabkan Kilometer 80, Jalan Gua Musang-Lojing dekat Pos Brooke ditutup seketika, susulan banjir lumpur selama tiga hari bermula Selasa.

Semalam, kerja pembersihan dilakukan dengan menggunakan jentera untuk menyodok lumpur yang melimpah daripada bukit berhampiran.

Penduduk Kampung Jedip, Pos Brooke, Mokhtar Angah berkata, banjir lumpur yang berlaku kira-kira 200 meter daripada penempatan penduduk, sekali gus menutup jalan keluar masuk kampung berkenaan.

“Banjir akibat pembukaan tanah berleluasa di kawasan sekitar, banyak bukit yang gondol dan tiada lagi pokok yang bersifat menahan air.

“Masalah ini bukan perkara baru namun ia semakin membimbangkan kami kerana ia kerap berlaku sejak enam bulan lalu. Kami bimbang keselamatan terancam kerana sebelum ini, rumah kami hampir ditenggelami banjir lumpur. Mujur ada benteng pasir yang menahannya,” katanya, semalam.

Pengguna laluan itu, Ibrahim Mat Hassan, 60, berkata, dia terkejut apabila mendapati selut memenuhi jalan raya, ketika tiba di lokasi itu jam 10 pagi semalam.

Katanya, dia dalam perjalanan dari Gua Musang ke Cameron Highlands untuk menjemput cucunya.

“Walaupun jentolak digunakan untuk membersihkan lumpur, saya tetap bimbang melaluinya kerana ia mungkin memudaratkan kereta.

“Lebih baik saya menunggu di sini dan meminta cucu datang sebelum pulang ke rumah di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Lebir, Gua Musang,” katanya.

Disiarkan pada: January 28, 2017 @ 5:22am
d