mutakhir

Masuk AS tanpa visa

Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Semua syarat ditetapkan untuk melaksanakan Program Pengecualian Visa Amerika Syarikat (US VWP) dijangka dapat dipenuhi sepenuhnya menjelang September 2018.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan optimis menyelesaikan perkara itu dalam tempoh ditetapkan, memandangkan hanya satu saja syarat belum dipenuhi.

Katanya, syarat berkenaan adalah kadar penolakan permohonan visa Amerika Syarikat (AS) dalam kalangan rakyat Malaysia yang ketika ini berada pada tahap 3.7 peratus.

Beliau berkata, kadar penolakan itu kebanyakannya disebabkan masalah teknikal iaitu kesalahan mengisi borang permohonan dan bukannya soal keselamatan.

“Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menetapkan kadar penolakan sepatutnya pada tahap bawah atau tiga peratus, sekarang kita berada pada 3.7 peratus, jadi tinggal hanya 0.7 peratus saja lagi untuk memenuhinya.

“Kami amat positif program itu dapat dilaksanakan dan kami berharap semua syarat dipenuhi dapat diiktiraf terus pentadbiran baru AS,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Kehormat Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) kepada Ahli Mesyuarat Pengurusan Tertinggi (MPT) Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, semalam.

Seramai 38 ahli MPT yang terdiri daripada ketua bahagian, ketua pengarah dan ketua jabatan di bawah KDN diketuai Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim menerima pemakaian pangkat disempurnakan Ahmad Zahid.

Turut hadir, Ketua Pengarah RELA Zulkifli Abidin.

Terdahulu Ahmad Zahid menerima kunjungan tidak rasmi bakal Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia Kamala Shirin Lakhdhir di pejabat beliau, di sini.

Pada November 2015, Malaysia menjadi negara ketiga di rantau Asia Tenggara yang menyertai US VWP selepas menandatangani perjanjian meningkatkan kerjasama mencegah dan membanteras jenayah berat (PCSC).

Program itu membolehkan rakyat Malaysia memasuki AS tanpa memohon visa dan membolehkan mereka tinggal di negara itu bagi tempoh maksimum 90 hari untuk pelancongan atau perniagaan.

Setakat ini, 37 negara menyertai program itu termasuk negara jiran iaitu Singapura dan Brunei.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, beliau yakin Lakhdhir akan menyampaikan mesej jelas Malaysia kepada Washington berkaitan soal pencegahan dan membanteras keganasan, serta semua perkara yang sudah dimuktamad sebelum ini.

Katanya, beliau berharap semua perkara yang sudah dibincangkan dengan duta terdahulu akan terus diberikan kesinambungan walaupun Presiden AS Donald Trump mempunyai pelbagai dasar baru.

“Saya yakin pentadbiran baru ini akan terus melaksanakan beberapa perjanjian dan kesefahaman yang selama ini sudah dimeterai.

“Kita tidak mahu berkompromi dari segi soal pencegahan dan pembanterasan keganasan, prinsip itu sudah dinyatakan dengan cukup komited dan ia sudah dipersetujui antara Malaysia dan Amerika Syarikat khususnya penubuhan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi Malaysia (CMC) dan meneruskan program deradikalisasi,” katanya.

Disiarkan pada: January 28, 2017 @ 5:31am
d