mutakhir

Hangat berubat

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Beriadah sambil merasai kehangatan air panas antara pakej menarik yang terdapat di Kolam Air Panas Sungai Serai, Batu 11, Hulu Langat, Selangor seraya memberikan pengalaman bermakna kepada pengunjung terutama yang dahagakan ketenangan selepas menghadapi kesibukan kota.

Terletak 30 kilometer dari pusat bandar raya, kolam itu menjanjikan lokasi menarik untuk bersantai pada hujung minggu sambil menyegarkan badan dengan berendam dalam air panas.

Kolam air panas itu yang dibuka jam 8 pagi hingga 10 malam sering dikunjungi orang ramai bersama keluarga masing-masing untuk beristirahat pada hujung minggu.

Malah, pengunjung dari luar bandar juga tidak ketinggalan bersantai di kolam air panas berkenaan kerana dikelilingi suasana kampung yang menjanjikan kedamaian kepada mereka yang sentiasa ‘serabut’ dengan kesibukan kerja dan kesesakan bandar. Orang ramai juga mudah ke lokasi berkenaan menggunakan pengangkutan awam.

Kakitangan syarikat swasta, Hafiz Abbas, 40, berkata, dia bersama keluarga ke kolam air panas berkenaan untuk bersantai setiap kali ada kesempatan.

“Kawasan ini juga dilengkapi pelbagai kemudahan seperti tandas, tempat letak kereta serta gerai makan dan ini memudahkan orang ramai yang berkunjung.

“Berendam dalam air panas ini dipercayai mempunyai pelbagai kebaikan terutama merawat kulit dan terapi minda,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, Hazirah Mat Ali, 35, berkata, dia bersama-sama rakan menghabiskan masa hujung minggu di kolam air panas itu untuk bersantai.

“Saya tinggal di Ampang dan untuk ke kolam air panas itu hanya mengambil masa 45 minit dari rumah. Kawasan ini sentiasa dipenuhi orang ramai pada cuti hujung minggu sehingga lewat malam,” katanya.

Disiarkan pada: January 28, 2017 @ 5:34am
d