mutakhir

'Aishah dalami Islam'

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Jelebu: “Adik (Siti Aishah) kerap menelefon dan bertanya mengenai ibadat seperti bacaan doa selepas solat.

“Disebabkan itu saya mengirimkan buku agama dan ia tanda kasih sayang,” kata Kamar Mahtum Abdul Wahab, 77, kakak kepada Siti Aishah, 73, wanita Malaysia yang dikurung sebagai hamba di London lebih 30 tahun.

Kamar Mahtum berkata, Siti Aishah kini bersungguh-sungguh mendalami agama dan selalu menghubunginya jika berdepan masalah.

Katanya, jika ditanya sesuatu mengenai Islam, dia menghantar bahan rujukan selain memintanya bertanya pada guru yang mengajarnya bahasa Arab.

“Ketika mengunjungi Aishah tahun lalu, kami berkunjung ke masjid di sana. Ia pendedahan untuknya mendalami Islam selain berkenalan bersama komuniti Islam,” katanya ditemui di rumahnya di Kuala Klawang, di sini, semalam.

Bekas guru Bahasa Inggeris itu berkata, setiap minggu keluarganya akan menelefon selain mengirim surat kepada Siti Aishah untuk bertanya khabar.

“Dalam perbualan, perkara pertama dibincangkan adalah solat, membaca al-Quran dan buku agama.

“Bagi kami (keluarga), tidak sesekali akan bertanya sejarah lampaunya. Apa yang berlaku biarlah berlalu dan dia adalah adik berwajah baru,” katanya.

Ditanya dokumentari mengenai Aishah yang disiarkan BBC, baru-baru ini, Kamar Mahtum berkata, dia turut berada ketika ditemu ramah di London, tahun lalu.

“Pada masa itu, pihak BBC menemu ramah saya terlebih dulu selama sejam diikuti Siti Aishah. Saya bagaimanapun tidak tahu apa ditanya dan dijawab oleh adik.

“Sebaik menonton dokumentari itu, semalam (kelmarin), saya tidak begitu suka. Apapun berlaku, saya gembira adik pulang ke pangkuan kami selepas 30 tahun gagal dikesan,” katanya.

Katanya, Siti Aishah kini menetap di London dan bekerja sebagai sukarelawan dengan bayaran tertentu.

“Adik memberitahu mahu pulang ke sini untuk bertemu keluarga. Diharapkan keinginannya menjadi kenyataan walaupun hanya sekejap,” katanya.

Harian Metro pada 27 November 2013 melaporkan, bekas ahli kumpulan Maoist mengakui Siti Aishah adalah ahli kumpulan itu yang dikurung sejak 30 tahun lalu.

Siti Aishah yang dilaporkan menjadi ‘hamba’ selama tiga dekad di bawah kawalan pemimpin aliran politik kiri itu dikatakan tiba di London sebelum itu bersama tunang ketika dunia dibayangi isu Perang Vietnam.

Pasangan terbabit dilaporkan tertarik kepada pertubuhan dikenali Forum Mahasiswa Malaysia dan Singapura (MASS) yang dicap antara kumpulan Maoist tegar yang bergerak di London.

Di bawah kendalian pasangan dikenali sebagai Balakrishnan dan Chanda Pattni, kumpulan itu berada di barisan depan dalam kebanyakan protes mahasiswa walaupun keanggotaannya kecil.

Disiarkan pada: January 30, 2017 @ 9:08am
d