mutakhir

Aus tetap semangat ke sekolah

Oleh Hai Rozzaman Jalal

Tangkak: Kanak-kanak penghidap kanser otot tahap empat, Ahmad Firdaus Azman, 8, tetap bersemangat untuk ke sekolah biarpun mengetahui keadaannya yang tidak sihat.

Dia tetap teruja untuk belajar, malah menyatakan dia akan lupa dengan penyakit dihidapinya setiap kali dapat berjumpa dengan kawan-kawan di sekolah.

Bapanya, Azman Sariman, 50, berkata, Ahmad Firdaus yang mesra disapa dengan panggilan Aus memang seorang kanak-kanak yang kuat dan cekal kerana jarang mengadu tentang sakitnya.

Menurutnya, sejak disahkan menghidap kanser otot tahap empat penghujung 2013, Ahmad Firdaus jarang mengadu mengenai penyakitnya walaupun keadaan matanya membengkak.

Ibu kanak-kanak itu, Siti Marlina Kariman, 30, berkata, punca awal penyakit anaknya itu dikesan selepas dia mengadu bengkak di kaki, namun selepas dirujuk ke klinik berhampiran doktor memaklumkan keadaannya tidak serius.

Katanya, lama kelamaan mata kiri Ahmad Firdaus turut membengkak dan keluarga membawanya ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk rawatan lanjut.

“Pada mulanya kami menganggap ia bisul, tetapi selepas sebulan menunggu keputusan, ia mengejutkan kami sekeluarga apabila pihak hospital memaklumkan Ahmad Firdaus menghidap kanser otot tahap empat,” katanya.

Katanya, keceriaan Ahmad Firdaus semakin kurang berikutan dia tidak dapat bertemu kawan-kawan di sekolah, malah dia ada memberitahu hajatnya untuk merasai pengalaman memetik buah strawberi segar di Cameron Highlands.

“Lebih mengharukan apabila dia menyatakan tidak kisah walau hanya seketika menjejakkan kaki di Cameron Highlands, janji dia dapat merasa makan strawberi walaupun sebiji,” kata ibu kepada empat orang cahaya mata itu.

Impian Ahmad Firdaus itu bakal tercapai apabila Persatuan Impian Kanak-kanak Malaysia Johor yang membuat lawatan ke rumah kanak-kanak itu diketuai Ahli Lembaga Persatuan, Siti Nazirah Diman berusaha untuk menunaikan hajat itu bagi memberikan keceriaan serta semangat baru kepadanya.

Sementara itu, orang ramai yang bersimpati dan ingin menyumbang kepada adik Ahmad Firdaus boleh menyalurkannya menerusi akaun Maybank 1510893-
30217 atas nama Siti Marlina Kariman.

Disiarkan pada: January 31, 2017 @ 10:16am
d