mutakhir

Rezeki siang ikan bertambah

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Pekan: Musim banjir yang melanda negeri Pahang kali ini ibarat satu rahmat buat suri rumah Sarifah Salleh, 38, apabila tidak putus-putus menerima upah menyiang ikan yang diminta penternak ikan sangkar di Kampung Sungai Ganchong, di sini.

Bagi ibu beranak tiga itu, musim banjir kali ini, dia bersama dua lagi rakannya akan mengambil upah menyiang ikan kira-kira 200 kilogram (kg) hingga 300kg sehari daripada majikannya yang juga penternak ikan sangkar di kawasan Sungai Pahang.

“Tauke (penternak ikan) bayar 50sen bagi setiap kg kalau bukan musim banjir susah nak ambil upah siang ikan 200kg sehari. Musim banjir permintaan ikan sangkar tiba-tiba melonjak dan meningkat. Jadi saya anggap ia hikmah untuk kami tambah pendapatan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, kebiasaan dia dan rakannya yang juga suri rumah akan menyiang ikan jenis Baung, Patin, Kerai dan Kelah untuk dihantar ke pasar, restoran dan pengusaha katering.

Katanya, permintaan ikan sangkar yang meningkat secara mendadak pada musim tengkujuh kali ini didorong faktor kebimbangan pengusaha restoran dan peniaga di pasar yang akan terputus bekalan kerana faktor ikan mati disebabkan banjir.

“Biasanya tauke suruh datang pagi untuk siang ikan dan dalam jam 3 petang saya sudah siap pulang ke rumah. Kalau banyak siang ikan hari itu kami bertiga mampu dapat RM50 hingga RM70 seorang dalam masa sehari, bergantung jumlah berat ikan yang kami siang,” katanya.

Sementara itu, penternak ikan sangkar Sharifah Khalilah Syed Zain, 61, berkata, kebiasaan ikan sangkarnya dihantar ke restoran di sekitar Pahang malah ada juga dihantar ke Johor dan Lembah Klang.

“Sudah 20 tahun saya mengusahakan ternakan ikan sangkar ini, bila musim banjir tiba, saya sudah biasa menghadapinya. Jika banyak ikan mati saya anggap tiada rezeki,” katanya.

Sharifah Khalilah yang kini mempunyai 25 sangkar ternakan ikan mengakui bencana banjir sedikit sebanyak menjejaskan ternakan ikannya kerana akan ada ikan yang mati, namun menganggap rezeki akan tetap dikurniakan Allah SWT sekiranya dia yakin dan terus berusaha.

Disiarkan pada: February 1, 2017 @ 9:50am
d