mutakhir

Gempur Jalan Alor

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Lokasi Jalan Alor di sini, yang menjadi ‘syurga’ puluhan warga asing berniaga barangan tiruan digempur Penguat Kuasa Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL).

Dalam operasi besar-besaran bermula dari jam 8.30 malam hingga jam 12 tengah malam semalam, kebanyakan premis yang diperiksa didapati milik warga Bangladesh dan tidak memiliki lesen perniagaan sah.

Jurucakap Bahagian Penguatkuasaan DBKL berkata, seramai 22 anggota dan pegawai penguat kuasa DBKL terbabit dalam operasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan dijalankan, pihak kami mengambil tindakan menyita dan merampas barang jualan di lima gerai milik warga asing.

“Antara barangan yang dirampas adalah beg galas, tali pinggang, jam tangan, minyak wangi, cermin mata, dompet dan barangan aksesori lain yang kebanyakannya menggunakan jenama terkenal cetak rompak,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sebelum ini akhbar Harian Metro pernah mendedahkan, kawasan ‘segi tiga emas’ Bukit Bintang di sini, dijajah peniaga Bangladesh yang mampu menyewa lot kedai mencecah RM1,000 sehari bagi menjalankan kegiatan menjual produk pakaian cetak rompak.

Lebih mengejutkan apabila hampir semua premis yang terletak di Jalan Sultan Ismail berhampiran restoran McDonald Bukit Bintang di sini, digunakan untuk menjual barangan cetak rompak.

Walaupun serbuan dan rampasan pernah dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), namun mereka seolah-olah ‘kebal’ dan masih meneruskan operasi beberapa hari kemudian.

Menurut Jurucakap Bahagian Penguatkuasaan DBKL, barang yang dirampas kemudiannya dibawa ke stor sitaan di Jalan Lombong, di sini, untuk tindakan lanjut.

“Kami mengambil tindakan kerana kesalahan mereka mengikut Undang-Undang Kecil 3(1) Undang-Undang Kecil Perlesenan Penjaja dan Gerai (WPKL) 1989 kerana menjaja tanpa lesen.

“Kawasan itu beberapa kali diambil tindakan, namun warga asing ini dilihat kebal. Pemantauan dan tindakan terhadap penjaja warga asing akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

Disiarkan pada: February 2, 2017 @ 9:54am
d