mutakhir

Atasi air termenung

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Semua pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara dijangka tutup sepenuhnya dalam tempoh seminggu lagi bergantung kepada faktor cuaca.

Timbalan Ketua Pengarah Penyelarasan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Zainal Azman Abu Seman berkata, pihaknya menjangkakan baki mangsa seramai 2,602 orang yang menetap di 46 PPS bakal dibenarkan pulang sekiranya keadaan kediaman mereka selamat untuk diduduki.

“Setakat petang ini (semalam), jumlah mangsa di pusat pemindahan semakin berkurangan kerana ramai dibenarkan pulang, namun ada juga sebahagian daripada mereka terutama yang menetap di kawasan kampung dan kawasan rendah masih belum pulang kerana rumah mereka masih digenangi air.

“Jika tidak berlaku hujan dan cuaca panas, kita jangkakan semua pusat ditutup dalam seminggu lagi,” katanya.

Menurutnya, NADMA bersama beberapa agensi berkaitan merangka jalan penyelesaian bagi menangani masalah air bertakung atau lebih dikenali sebagai air termenung yang berlaku di beberapa daerah di empat negeri termasuk Tumpat, Kelantan, Hilir Perak, Perak, Pekan, Pahang dan Sabak Bernam, Selangor.

Katanya, fenomena air termenung perlu ditangani dan dipandang serius berikutan memberi banyak kesan termasuk menjejaskan ekonomi setempat disebabkan kebanyakan ekonomi luar bandar berasaskan pertanian, perladangan dan penternakan.

“Fenomena air termenung menyebabkan ada mangsa di sesetengah tempat tak boleh pulang ke rumah biarpun keadaan banjir sudah pulih. Ini kerana kediaman mereka masih digenangi air terutama yang menetap di kawasan rendah dan berpaya.

“Oleh itu, kita bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (PPS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyelesaikan masalah air termenung bagi mengelak mangsa banjir terperangkap lama di pusat pemindahan sementara.

“Kaedah sesuai yang kita rancang ialah membaiki sistem perparitan untuk memudahkan air mengalir selain untuk jangka masa panjang kita syorkan pihak berkaitan membuat perancangan teliti supaya menasihati penduduk kampung yang menetap di kawasan risiko air termenung membina rumah di penempatan sesuai seperti kawasan lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, setakat jam 6 petang semalam, info portal banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat merekodkan bilangan mangsa yang ditempatkan di PPS seluruh negara semakin kurang iaitu 2,602 daripada 718 keluarga.

Di Perak, seramai 221 mangsa membabitkan 62 keluarga masih menetap di Surau Padang Serai Dalam dan Sekolah Rendah Agama Rakyat Padang Serai.

Manakala di Johor, sebanyak 14 pusat masih dibuka untuk menempatkan 432 mangsa di daerah Muar dan Segamat.

Seramai 1,949 mangsa daripada 545 keluarga masih berlindung di 30 PPS di daerah Kuantan, Maran dan Pekan.

Di samping itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca di kebanyakan tempat di Semenanjung sehingga 8 Februari ini berada dalam keadaan baik pada sebelah pagi.

Hanya hujan dan ribut petir dijangka berlaku di satu dua tempat terutama di kawasan pedalaman pada lewat petang dan senja.

Disiarkan pada: February 3, 2017 @ 10:18am
d