mutakhir

Parah kereta empat tayar ke atas

Oleh myMetro

Ipoh: Seorang lelaki berusia 45 tahun nyaris maut apabila kereta dipandu merempuh kereta lain menyebabkannya hilang kawalan sehingga terbalik dalam keadaan tayar ke atas di Jalan Sultan Azlan Shah berdekatan Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.40 pagi itu, mangsa, Chong Kwee Wah memandu kereta jenis Perodua Kancil dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja di bandar Ipoh sebelum sebuah kereta Honda City yang dipandu seorang wanita berusia 56 tahun tiba-tiba muncul di hadapannya untuk memasuki simpang jalan.

Akibat pelanggaran itu, kereta yang dinaiki Chong terbalik dan remuk di bahagian hadapan manakala kereta Honda City pula melintang jalan sehingga menghalang lorong sebelah kanan jalan raya di situ.

Mangsa yang cedera di beberapa anggota badan diberi rawatan oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh mengesahkan menerima panggilan pada jam 7.46 pagi mengenai kejadian itu.

Disiarkan pada: February 3, 2017 @ 10:23am
d