mutakhir

Pemandu tersepit [METROTV]

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Jasin: Enam cedera ringan selepas sebuah bas ekspres melanggar belakang lori di Kilometer 185.6 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Hentian Rehat Bemban, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam, bas ekspres membawa 10 penumpang warga tempatan itu dari Kuala Lumpur ke Singapura dipercayai hilang kawalan lalu melanggar belakang lori membawa muatan minuman ringan seberat 36 tan.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, pemandu bas, K Vijaya Kumar, 39, tersepit di tempat duduk pemandu dan dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba.

“Akibat kemalangan, bahagian depan bas remuk dan pemandunya dilaporkan cedera pada kedua-dua kaki. Empat lagi penumpang cedera ringan di kaki, mulut, hidung, patah gigi dan luka di muka.

“Pemandu lori pula dikenali sebagai A Letchimunanan, 64, cedera di dada akibat terhentak pada stereng,” katanya.

Mohd Sham berkata, mangsa yang cedera dikenali Wong Yen Yik dan isteri, Lai Ying Ying, 29, Wong Fong Yee, 34, dan Tan Ling Ling, 26.

Beliau berkata, penumpang yang cedera dikejarkan ke Hospital Jasin untuk rawatan kecemasan dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Akta Pengangkutan Jalan 166/59.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Timbalan Penguasa Bomba Ju’mat Tariman berkata, 15 pegawai dan anggota dari BBP Ayer Keroh dan Jasin Bestari bersama jentera dikejarkan ke lokasi sejurus pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu.

“Pemeriksaan mendapati pemandu bas terperangkap di tempat duduk dan sukar keluar akibat dihalang papan pemuka berikutan bahagian depan kenderaan itu remuk.

“Usaha mengeluarkan mangsa tiada masalah dan dia diberi rawatan awal sebelum dikejarkan ke Hospital Jasin menggunakan ambulans Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (ERMS),” katanya.

Disiarkan pada: February 3, 2017 @ 10:45am
d