mutakhir

Sekat rezeki nelayan

Oleh Hadzlihady Hassan

Georgetown: Kerakusan pemaju menjalankan projek menambak laut di kawasan perairan Pulau Pinang menjejaskan periuk nasi hampir 4,000 nelayan di negeri ini.

Berikutan itu, golongan nelayan mengadakan beberapa siri demonstrasi secara aman bagi membantah projek yang dilihat bukan saja bakal memusnahkan ekosistem kehidupan laut, malah turut membuatkan mereka terpaksa ke lokasi lebih jauh untuk menangkap ikan.

Walaupun pelbagai bantahan dilakukan, projek tambakan laut terbabit masih tetap dilaksanakan di beberapa kawasan perairan negeri ini dan kemuncaknya hampir 200 nelayan melakukan demonstrasi, baru-baru ini dengan berkumpul dan menaiki bot masing-masing menuju ke kawasan laut.

Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang, Nazri Ahmad berkata, projek yang dilaksanakan bagi membina pulau buatan serta kawasan perumahan mewah itu dilihat memberi kesan negatif kepada golongan nelayan di kawasan sekitar.

Nazri berkata, projek terbabit akan merugikan nelayan dalam jangka masa panjang kerana berlakunya gangguan ekosistem terhadap hidupan laut.

“Kehidupan nelayan hanya dengan laut dan bergantung rezeki hasil daripada tangkapan ikan, namun jika kawasan ini diganggu ia memang memberi kesan kepada kami.

“Nelayan pantai seperti kami ini hanya membawa bot kecil serta tidak boleh pergi jauh kerana ancaman ribut dan ombak besar,” katanya.

Sementara itu, seorang nelayan Haron Abdul Rashid, 53, berkata, mereka mahukan enjin bot serta kelengkapan menangkap ikan supaya mudah melakukan kerja harian.

“Kos pampasan patut diberikan kepada kami sebenarnya berjumlah RM200,000 bagi memudahkan golongan nelayan untuk menangkap ikan.

“Kos itu bukan berbentuk wang tunai kerana kami hanya memerlukan kelengkapan seperti enjin, pukat dan peralatan lain,” katanya.

Menurutnya, projek tambakan laut itu akan menyebabkan mereka terpaksa menangkap ikan di kawasan lebih jauh berbanding sebelum ini berikutan hidupan laut akan terjejas.

“Bayangkan nelayan pantai seperti kami terpaksa keluar lebih jauh untuk menangkap ikan selepas projek pulau ini dilakukan.

“Secara kesimpulannya, projek ini akan memberi kerugian dan tiada langsung kelebihan kepada kami,” katanya.

Disiarkan pada: February 4, 2017 @ 6:36am
d