mutakhir

Modal turun laut tak setimpal hasil

Georgetown: “Setiap kali turun ke laut, saya rasa sedih dan kecewa kerana hanya tiga atau empat ekor bawal saja diperoleh selepas lebih tiga jam melabuh jala.

“Modal dikeluarkan untuk turun ke laut lebih daripada hasil diperoleh, kadang-kadang saya tidak dapat apa-apa hasil,” luah seorang pemandu bas, Mohd Yusri Mohd Yusof, 33, yang pernah menjadi nelayan pesisiran pantai di Batu Uban lebih enam tahun lalu.

Berikutan kawasan Batu Uban menjadi lokasi tambakan laut, pendapatan nelayan di kawasan berkenaan terjejas teruk menyebabkan mereka terpaksa mencari pekerjaan baru.

Mohd Yusri berkata, dia mula mencari pekerjaan baru selepas isterinya melahirkan anak ketiga pada Disember 2014, walaupun pada mulanya terus bertahan sebagai nelayan dengan pendapatan tidak seberapa selepas kerja penambakan itu dilakukan.

“Saya terpaksa mencari kerja baru selepas isteri Zurina Botok, tidak bekerja dan melahirkan anak ketiga kami.

“Saya bersyukur kerana memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mencari kerja baru dan saya mendapat kerja dengan syarikat bas Rapid Penang sebagai kapten,” katanya.

Mohd Yusri berkata, dia amat bersimpati dengan nasib nelayan lain yang tidak mempunyai kelayakan akademik sehingga sukar untuk mencari pekerjaan baru.

“Saya berasa amat simpati dengan nasib dialami rakan tidak mendapat pekerjaan baru. Mereka terpaksa turun ke laut walaupun tidak mendapat hasil kerana tidak dapat mencari pekerjaan lain.

“Selepas kawasan di Batu Uban ditambak, nelayan terpaksa keluar lebih jauh untuk menangkap ikan kerana lokasi biasa mencari rezeki sudah tiada manakala ikan di kawasan pesisiran pantai Batu Uban hampir pupus,” katanya.

Mohd Yusri berkata, dia tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan negeri yang mahu menambak kawasan di Batu Maung kerana tindakan itu boleh menjejaskan ekosistem hidupan di kawasan berkenaan.

“Saya berharap kerajaan negeri lebih prihatin dengan nasib nelayan di kawasan persisiran pantai, janganlah tambak laut kerana tindakan ini boleh menjejaskan periuk nasi nelayan,” katanya.

Disiarkan pada: February 5, 2017 @ 5:14am
d