mutakhir

Datuk kecundang

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa dan Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seorang ahli politik bergelar Datuk antara 34 ahli kongsi gelap Geng 36 yang berjaya ditahan polis dalam operasi besar-besaran sejak awal minggu ini.

Sumber berkata, penahanan semua suspek termasuk ahli parti politik itu dilakukan anggota polis Pasukan Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman yang melancarkan Operasi Op Cantas Khas di sekitar Lembah Klang.

Katanya, polis yakin dapat menyelesaikan beberapa kes bunuh berprofil tinggi sejak lebih tiga tahun lalu hasil penahanan semua suspek itu.

“Antara kes yang dikaitkan dengan ahli kumpulan kongsi gelap itu adalah pembunuhan ketua kumpulan Satu Hati, Surya, di Jinjang Selatan pada 25 Januari tahun lalu dan orang kanannya Kanna, di Danau Kota, Setapak, pada 27 Julai lalu.

“Polis turut merampas enam pucuk pistol, satu raifal, peluru serta 10 kilogram dadah jenis syabu dan heroin,” katanya.

Menurutnya, kumpulan kongsi gelap itu turut disiasat terbabit dengan kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim, pada 26 April 2013 di persimpangan lampu isyarat Lebuh Sentosa, Putrajaya.

“Setakat ini sebahagian senjata api yang dirampas turut dipercayai mempunyai kaitan dalam kes Shaharuddin.

“Namun siasatan secara terperinci dibuat oleh polis forensik. Susulan itu, polis masih memburu saki-baki individu yang terbabit dengan kumpulan berkenaan,” katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, operasi berkenaan mensasarkan kumpulan samseng yang aktif di sekitar utara dan selatan negara, selain Kuala Lumpur dalam usaha membanteras kegiatan gangsterisme.

“Dalam serbuan berkenaan, kami menyasarkan kumpulan samseng berbangsa Cina dan India di kawasan berkenaan. Antara yang ditahan adalah Ketua Geng dan orang kanan kumpulan kongsi gelap itu,” katanya pada sidang media selepas menutup upacara Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Kadet Inspektor Siri 1/2016, di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, semalam.

Noor Rashid berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terbabit dalam kegiatan gangsterisme dalam usaha menangani kadar kes jenayah yang didalangi kumpulan berkenaan.

“Kejayaan tangkapan ini hanya permulaan bagi polis untuk menjalankan Ops Cantas Khas dengan lebih konsisten,” katanya.

Disiarkan pada: February 5, 2017 @ 5:28am
d