mutakhir

Tabung Bencana NSTP-Media Prima agih bantuan

Kota Marudu: Seorang ibu tunggal bersyukur dengan bantuan yang dihulurkan menerusi Tabung Bencana NSTP-Media Prima selepas hilang punca pendapatan akibat banjir yang melanda daerah ini pada 18 Januari lalu.

Runtamis Tilugan, 72, dari Kampung Damai, di sini, berkata, dia tidak dapat berniaga di pasar minggu sejak dua minggu lalu kerana hasil tanamannya seperti sayur-sayuran dan buah-buahan musnah akibat ditenggelami air.

Pada program itu, 972 keluarga membabitkan 3,483 mangsa banjir di daerah ini menerima bantuan makanan dan minuman bernilai keseluruhan RM140,000.

Pengagihan sumbangan dilakukan lapan anggota Briged Sukarelawan Media Prima-NSTP dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Kota Marudu dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Hadir sama Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Anita Baranting merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek dan Pegawai Daerah Kota Marudu Arnol Joibee.

Sementara itu, Pengurus Komunikasi Kumpulan Komunikasi Korporat Media Prima Jad Mahidin berkata, bantuan itu antaranya membabitkan beras, minuman dan makanan tin.

“Dana yang diterima ini adalah 100 peratus sumbangan rakyat Malaysia dan ia diserahkan kepada mangsa bencana termasuk banjir,” katanya.

Disiarkan pada: February 6, 2017 @ 6:30am
d