mutakhir

Tarah bukit tinggal lombong

Rawang: Penarahan tanah bukit secara haram bersebelahan perumahan penduduk di Blok 3 Jalan 3/34 Bandar Tasek Puteri, di sini, mengundang kebimbangan berikutan mereka bakal berdepan hakisan serius sekiranya aktiviti itu berterusan.

Kegiatan dijalankan sejak tujuh tahun lalu itu menyebabkan bukit yang dulunya dipenuhi kelapa sawit menjadi lombong yang kini menghampiri
80 deretan rumah.

Tinjauan Harian Metro
ke tapak itu bersama sebahagian penduduk mendapati jarak antara rumah dengan kawasan yang dikorek itu hanya tujuh meter.

Pesara Romli Bidin, 61, berkata, dia dan penduduk bimbang kerana sejak kebelakangan ini berlaku pergerakan tanah yang kerap dan menyebabkan runtuhan besar pada minggu lalu.

“Kerja pengorekan dihentikan sejak dua bulan lalu, tetapi pihak berkenaan membiarkan tanpa baik pulih cerun yang ditarah.

“Kami bimbang hakisan lebih serius kerana bukit yang ditarah itu curam selain ada kolam bertakung yang boleh meruntuhkan cerun,” katanya.

Katanya lagi, penduduk sudah menghantar surat aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Menteri Besar Selangor untuk perhatian dan tindakan segera.

“Kami difahamkan tanah dikorek itu milik kerajaan negeri dan projek perumahan dijangka dibina di situ, tetapi kami buntu kerana tidak tahu syarikat mana yang melakukannya.

“Tiada papan tanda yang menyatakan tujuan kerja penarahan itu dibuat dan ini membingungkan kami,” katanya.

Disiarkan pada: February 6, 2017 @ 6:42am
d