mutakhir

'Tak tahu tak boleh merokok'

Oleh Nabihah Kamal

Kuala Lumpur: Larangan merokok di taman awam yang diwartakan 1 Februari lalu tidak diendahkan terutama warga asing dan alasan diberi, tidak tahu.

Tinjauan Harian Metro (HM) mendapati, ramai warga asing yang melepak di kawasan Taman Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) merokok walaupun ada papan tanda dilarang merokok di situ.

Buruh warga Indonesia, Supri Saman, 48, berkata, dia tidak tahu mengenai larangan merokok di taman itu.

“Saya lihat masih ramai pengunjung merokok di sini dan tidak tahu ia satu kesalahan.

“Sebab itu saya merokok di taman ini,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dipetik berkata, semua taman awam kecuali kawasan letak kenderaan terbuka dan Taman Negara diwartakan sebagai kawasan larangan merokok bermula 1 Februari lalu.

Ia bertujuan mengekang aktiviti merokok di tempat awam supaya budaya ini tidak diterima masyarakat.

Mereka yang ingkar akan didenda RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Tinjauan HM di Taman Botani Perdana, di sini pula mendapati, masih ada yang merokok di situ.

Pada masa sama tiada papan tanda larangan merokok di kawasan pintu masuk taman itu.

Eksekutif pemasaran, Siti Maisarah Kamaruddin, 26, berkata, dia yang sering berkunjung di taman rekreasi itu mengakui tiada papan tanda larangan merokok di kawasan berkenaan.

“Saya sering bawa anak ke sini setiap hujung minggu, namun tiada papan tanda larangan merokok.

“Papan tanda larangan merokok itu perlu diletakkan di kawasan masuk supaya perokok sedar dan patuh dengan larangan itu,” katanya.

Suri rumah, Normila Abdul Hamid, 45, berkata, pemantauan dan penguatkuasaan perlu diutamakan supaya larangan yang diwartakan dipatuhi.

“Pada masa sama, bukan saja di kawasan taman awam, di kawasan parkir taman berkenaan juga perlu dijadikan zon larangan merokok, ” katanya.

Disiarkan pada: February 6, 2017 @ 6:42am
d