mutakhir

Tahan dua suspek pecah masuk studio

Tawau: Polis sudah menahan dua lelaki yang dipercayai terbabit dengan kejadian pecah masuk sebuah studio muzik membabitkan kerugian RM200,000 di Bandar Sri Indah, Batu 10
di sini, 27 Januari lalu.

Suspek berusia 36 tahun dan 37 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan, pada Jumaat dan kelmarin.

Polis turut merampas sebilah parang sepanjang 53 sentimeter dan pacuan empat roda Mitsubishi Triton daripada suspek.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, suspek pertama berusia 37 tahun ditahan di sebuah rumah
di Taman Da Hua 1 di sini, jam 6.15 pagi, 3 Februari lalu.

Beliau berkata, sebelum itu, suspek terbabit ditahan oleh orang awam ketika sedang memecah masuk
ke rumah seorang penduduk di taman perumahan berkenaan.

“Suspek kemudian ditahan polis yang tiba
di lokasi. Hasi soal siasat, kami menahan suspek kedua di Jalan Tanjung Batu Laut, keesokan harinya. Ketika ditahan, suspek memandu Mitsubishi Triton.

“Hasil pemeriksaan, kami menemui parang terbabit dalam Mitsubishi Triton itu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek, pihaknya menyerbu rumah di Taman Milan, Jalan Sin Onn di sini, Sabtu lalu.

Beliau berkata, serbuan
di rumah itu menemui 19 barangan yang dicuri daripada studio muzik berkenaan termasuk set audio dan tiga gitar elektrik.

Menurut Fadil, pemeriksaan lanjut mendapati suspek pertama pernah dituduh di mahkamah atas kesalahan memiliki barangan curi serta dadah.

“Suspek kedua pernah dituduh di mahkamah atas kesalahan dadah dan sedang disiasat dalam dua kes pecah rumah lain,” katanya.

Kedua-dua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk premis.

Disiarkan pada: February 6, 2017 @ 7:04am
d