mutakhir

Tanam mayat di pulau

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

Tawau: Kehilangan seorang buruh warga Indonesia yang gagal pulang ke rumah selepas keluar memancing dengan tiga rakan terjawab apabila mayatnya ditemui di sebuah pulau di Kalabakan Selatan, dekat sini, jam 12 tengah hari, Jumaat lalu.

Mayat Susanto, 64, ditemui dengan beberapa kesan kecederaan dipercayai akibat ditikam senjata tajam. Mayatnya ditanam di sebuah lokasi di kawasan bukit di pulau berkenaan.

Manakala tiga rakan mangsa yang mempunyai kaitan dengan kematian mangsa sudah melarikan diri ke Indonesia.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, mangsa keluar memancing ke perairan Silimpopon, Kalabakan Selatan bersama tiga rakan sekerjanya, jam 7 pagi, 1 Februari lalu.

Beliau berkata, mangsa dan rakan sekerjanya tinggal di rumah kongsi di Ladang Kalabakan Selatan.

“Isteri mangsa yang berusia 60-an melaporkan kehilangan mangsa selepas lelaki terbabit serta rakannya itu tidak pulang ke rumah.

“Selepas menerima maklumat, anggota polis bantuan berusaha mengesan mangsa di kawasan perumahan pekerja ladang namun mangsa gagal ditemui,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, pada Jumaat lalu, seorang pekerja ladang berjaya menghubungi tiga lelaki yang keluar memancing bersama mangsa.

“Menurut pekerja ladang terbabit, tiga lelaki terbabit sudah melarikan diri ke Bontang, Kalimantan. Dia juga berkata, seorang daripada lelaki itu memaklumkan mangsa sudah mati dan mayatnya ditinggalkan di pulau itu.

“Bagaimanapun, suspek tidak memaklumkan punca kematian mangsa,” katanya.

Fadil berkata, pekerja ladang kemudiannya berusaha mengesan mangsa di sekitar pulau berkenaan sebelum menemui mayatnya.

“Mayat dijumpai ditanam dalam lubang di kawasan bukit di pulau berkenaan. Selepas ditemui, pekerja ladang itu melaporkannya kepada polis. “Anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dibantu 10 anggota Tiger Platon, Strike Team Balai Polis Kalabakan serta Polis Bantuan FELDA segera bergegas ke lokasi,” katanya.

Menurut beliau, pemeriksaan terhadap mayat menemui kesan cedera di belakang rusuk kanan dan di lengan kiri mangsa akibat tikaman senjata tajam.

Disiarkan pada: February 6, 2017 @ 7:07am
d