mutakhir

Isu parkir mampu cetus pertelingkahan

Kuala Lumpur: Isunya hanya membabitkan masalah parkir kenderaan, namun bagi penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PR) ia mampu mencetuskan rasa kurang senang hingga menyebabkan pertelingkahan besar antara penduduk.

Ia adalah fenomena biasa yang perlu diharungi kebanyakan penduduk terbabit berikutan kemudahan parkir kenderaan yang terhad.

Tinjauan Harian Metro di beberapa PPR sekitar Pantai Dalam, semalam mendapati kebanyakan kawasan berdepan masalah sama hingga terpaksa parkir di tempat tidak sesuai yang menghalang laluan kenderaan lain.

Seorang penduduk PPR Seri Cempaka, Riza Dahlawi, 45, berkata ruang parkir yang terhad sering menimbulkan kegusaran penduduk apabila terpaksa berebut setiap hari.

Katanya, kebanyakan penghuni di PPR menggunakan segala ruang yang ada termasuk parkir berlapis hingga menghalang laluan.

“Itu adalah pemandangan biasa jika tinggal di PPR, tetapi kita perlu sama-sama bersikap tolak ansur. Jika ada yang parkir berlapis, mereka sepatutnya tahu untuk tidak menggunakan brek tangan bagi memudahkan kenderaan dialihkan.

“Memandangkan kadangkala ada yang terlupa, ia menyebabkan pemilik kenderaan lain marah kerana tidak dapat keluar hingga ada cermin kenderaan dipecahkan supaya brek tangan dapat diturunkan.

“Ia sekali gus mencetuskan pertelingkahan penduduk dan rasa kurang senang,” katanya.

PPR Seri Cempaka mempunyai dua blok kediaman terdiri daripada lebih 600 unit rumah namun difahamkan ruang parkir yang disediakan tidak sampai 100 lot.

Lebih menyukarkan apabila penduduk di PPR berhampiran didakwa mengambil ruang yang ada di situ akibat ruang parkir yang terhad di tempat mereka.

Susulan masalah parkir, Kementerian Wilayah Persekutuan kelmarin dilaporkan akan membina 13 parkir bertingkat di 11 kawasan parlimen berhampiran kawasan PPR dan PA yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

Manakala Mohamad Abas Ibrahim, 44, berkata, perkara itu turut menimbulkan masalah lain kepada pengguna bas memandangkan pengangkutan terbabit tidak lagi melalui laluan berhampiran.

“Penduduk dan pelajar sekolah terpaksa berjalan hampir satu kilometer untuk menunggu bas kerana pengangkutan awam tidak lagi melalui kawasan ini. Ia berpunca daripada parkir penghuni yang menghalang laluan,” katanya.

Disiarkan pada: February 7, 2017 @ 5:54am
d