mutakhir

PPD Hulu Langat catat kedatangan baik

Bangi: Kehadiran pelajar ke sekolah di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat mencatatkan peratusan baik di empat zon kecuali Ampang.

Timbalan Pegawai PPD Hulu Langat, Zainariah Ahmad Yusop berkata, kehadiran pelajar ke sekolah diukur dengan 95 peratus Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dan empat zon di bawah PPD Hulu Langat mencatatkan kehadiran 90 peratus ke atas, kecuali Ampang.

Menurutnya, lima zon di bawah PPD Hulu Langat ialah Hulu Langat, Semenyih, Ampang, Bangi dan Cheras, membabitkan 165,000 pelajar di 130 sekolah kebangsaan dan menengah.

“Kawasan Hulu Langat dan Bangi menyumbang kehadiran agak baik dan Ampang dikenal pasti sebagai zon kritikal.

“Melalui kempen Jom Ke Sekolah ini diharapkan dapat meningkatkan kehadiran pelajar ke sekolah, sekali gus penurunan disiplin sebanyak 0.01 setiap bulan atau sepanjang tahun,” katanya ketika majlis pelancaran Program Jom Ke Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tiga, Bandar Baru Bangi di sini, semalam.

Hadir sama, Pengetua SMK Jalan Tiga, Ishak Abdullah dan Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan.

Dalam perkembangan berasingan, mengulas mengenai pembabitan pelajar dalam kes jenayah, Othman berkata, beliau tidak menafikan ada pelajar terbabit dalam pelakuan jenayah dan kebanyakannya berlaku di luar sekolah.

Katanya, antaranya kes pergaduhan dan ugutan tetapi ia kes terpencil.

Disiarkan pada: February 7, 2017 @ 5:59am
d