mutakhir

Pengangkutan isu lebih utama

Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Isu pengangkutan ke sekolah masalah utama dihadapi pelajar di sekitar ibu negara berbanding isu jenayah.

Demikian tegas Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datuk Foziah Buang ketika pelancaran program Jom Ke Sekolah dilancarkannya, semalam.

Menurutnya, berdasarkan statistik diperoleh sepanjang tahun lalu, kehadiran pelajar sekolah yang dicatatkan ialah 92 peratus.

Katanya, ini melebihi petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan Kementerian Pendidikan iaitu 90 peratus.

“Isu ketidakhadiran pelajar di Kuala Lumpur tidak kritikal, cuma ada beberapa sekolah itupun sebab masalah sosioekonomi ibu bapa pelajar itu sendiri.

“Selain itu ada pengangkutan awam tidak sampai ke sekolah. Ini memaksa ibu bapa menghantar mereka atau anak terpaksa berjalan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran program Jom Ke Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sentul Utama, semalam.

Bagaimanapun katanya, perkara itu dibincangkan termasuk di peringkat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit untuk penyelesaian.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh berkata, pelancaran kotak aduan di sekolah menjadi penambah baik hubungan sekolah dan pihak berkuasa.

Katanya, sebelum ini penempatan pegawai perhubungan sekolah untuk memantau tingkah laku pelajar, jenayah, keselamatan dan sebagainya.

“Setiap maklumat diterima daripada kotak aduan akan diambil tindakan segera.

“Bukan saja jenayah atau salah laku, tetapi apa saja masalah berkait dengan bidang kuasa polis, kami bantu,” katanya.

Menurutnya, semua pihak harus memainkan peranan memastikan anak muda tidak terjebak melakukan jenayah.

Disiarkan pada: February 7, 2017 @ 5:59am
d