mutakhir

Rentung bawahkertas

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Kota Tinggi: Kebakaran sebuah premis yang dijadikan bengkel membuat perabot di Jalan Lukut Cina, Kampung Lukut di sini, menemukan mayat seorang lelaki rentung di bawah timbunan kertas dan tin dalam kejadian awal pagi, semalam.

Mayat Ng Chin Chi, 42, yang berasal dari Batu Pahat itu ditemui di bahagian kanan pintu masuk hadapan premis terbabit yang turut memusnahkan sebuah Proton Iswara.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, pihaknya menerima panggilan telefon kira-kira jam 2 pagi semalam dari talian kecemasan 999 yang memaklumkan mengenai kebakaran itu.

“Pada jam 4.03 pagi, satu lagi aduan diterima daripada pemilik premis itu, Tein Wai Choo, 66, yang memaklumkan kebakaran itu turut mengorbankan seorang penyewa premis terbabit,” katanya.

Rahmat berkata, lokasi kejadian adalah sebuah premis yang dijadikan bengkel membuat perabot yang disewa.

Katanya, siasatan di lokasi kebakaran membabitkan Unit Forensik Kebakaran dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor serta Polis Daerah Kota Tinggi dan kini siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca kebakaran serta kematian mangsa.

“Laporan awal daripada unit forensik kebakaran bomba mendapati kebakaran bukan berlaku akibat litar pintas, namun punca sebenar masih dalam siasatan,” katanya sambil menambah mayat kemudian dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT).

Beliau berkata, kes masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga laporan bedah siasat dan laporan forensik dari JBPM negeri dikeluarkan.

Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Ahmad Amat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.40 pagi semalam sebelum bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan 10 anggota.

Disiarkan pada: February 7, 2017 @ 6:30am
d