mutakhir

Lori terjerumus jambatan runtuh [METROTV]

Oleh Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Musibah banjir sebanyak tiga kali bulan lalu memberi impak besar kepada penduduk di Kampung Padang Lembik, Ketereh, di sini dan sekitarnya.

Ia berikutan jambatan sepanjang 25 meter yang berusia 42 tahun serta menjadi laluan utama penduduk kampung itu terjejas teruk dan runtuh pada jam 7.30 malam, kelmarin.

Ketika kejadian, sebuah lori muatan kayu hampir tenggelam dalam tali air ketika melaluinya dan hanya bahagian hadapan saja yang sempat melepasi jambatan berkenaan.

Menurut penduduk kampung itu, Asiah Shafie, 36, pemandu lori berusia 50-an itu sempat menyelamatkan diri dan tidak cedera.

“Pemandu itu menyeberangi jambatan menghala ke Kampung Padang Lembik, tetapi lori muatan kayunya gagal tiba di tebing sepenuhnya.

“Hanya bahagian depan yang selamat manakala belakang pula jatuh disebabkan jambatan runtuh yang sekali gus menghasilkan bunyi kuat.

“Ramai terkejut dengan bunyi itu dan apabila kami tinjau, bahagian belakang lori berkenaan tenggelam dalam tali air.

“Jambatan ini pun sudah lama, uzur dan banjir besar sebanyak tiga kali bulan lalu memberi kesan kepada struktur binaannya,” katanya.

Difahamkan, jambatan itu menjadi laluan utama penduduk dan lebih 500 kenderaan menggunakannya setiap hari sama ada berulang-alik ke pasar, sekolah dan aktiviti lain.

Asiah tidak menolak kemungkinan jambatan runtuh akibat hakisan yang berpunca daripada banjir.

Susulan kejadian berkenaan, penduduk terpaksa memilih laluan alternatif yang lebih jauh iaitu melalui Mahligai, Melor atau Bukit Mak Limpah, Ketereh serta Kampung Batu Tinggi, Kok Lanas.

Penduduk berharap pihak berkuasa membina jambatan baru yang lebih kukuh dan stabil demi keselamatan pengguna secepat mungkin.

Disiarkan pada: February 7, 2017 @ 7:02am
d