mutakhir

Hujung bercabang [METROTV]

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: Hujung berus cat bercabang menjadi petunjuk kepada pembongkaran dua premis menjual berus dipercayai bersumberkan bulu babi diimport dari China di Larkin Perdana di sini, semalam.

Bahkan serbuan dilakukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri bersama Jabatan Agaman Islam Negeri Johor (JAINJ) selama sejam itu turut menemui aktiviti penjualan produk tanpa jenama itu sejak 20 tahun lalu.

Kehadiran anggota penguat kuasa bermula jam 11.15 pagi turut mengundang tindakan kurang selesa kepada pemilik premis yang cuba melengah-lengahkan tugas penguat kuasa untuk mengambil barangan diragukan bagi tujuan siasatan.

‘Drama’ itu bagaimanapun berakhir sebelum mereka akur selepas diterangkan tindakan bakal dikenakan sekiranya gagal mematuhi Perintah Perihal Dagangan (barang-barang diperbuat daripada mana-mana bahagian babi atau anjing) 2013.

Timbalan Ketua Penguat Kuasa KPDNKK Johor Rizq Fazliana Abd Rahman berkata, operasi membabitkan 15 anggota penguat kuasa termasuk enam anggota JAINJ dilakukan sejurus menerima maklumat awam berkaitan penjualan berus cat disyaki bulu babi.

“Hasil aduan awam itu, dua serbuan dilakukan terhadap premis itu dan menemukan kira-kira 150 berus cat disyaki bulu babi diimport dari luar,” katanya pada sidang media selepas mengetuai operasi itu di Larkin Perdana, semalam.

Hadir sama Penolong Pengarah Penguat Kuasa JAINJ, Khalil Satar.

Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), tidak pernah mengeluarkan sijil halal terhadap berus terbabit sejak 2003.

“Dulu, logo halal pernah dikeluarkan JAKIM terhadap berus seperti itu dan ia tidak pernah dikeluarkan lagi sehingga 2003.

“Sepatutnya peniaga meletakkan satu tag tertera bulu babi, tetapi dalam pemeriksaan hari ini mendapati mereka tidak melakukan sebarang penandaan seperti melabel mengenai berus dijual menggunakan bulu anjing atau babi,” katanya.

Katanya, operasi sama akan diperluaskan dari semasa ke semasa termasuk pemeriksaan mengejut bukan saja di kedai cat, tetapi premis penjualan perkakasan masakan dan pembuatan kuih.

“Mengikut peruntukan undang-undang peniaga sepatutnya mempamerkan barangan di tempat berasingan daripada barangan lain di dalam premis dan melabelkan dengan ungkapan diperbuat daripada babi atau anjing,” katanya.

Disiarkan pada: February 8, 2017 @ 6:22am
d