mutakhir

Perkasa astronomi

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Majlis Sains Negara (NSC) yang bermesyuarat semalam bersetuju mewujudkan Dasar Angkasa Negara bertujuan memastikan sektor angkasa dapat dimanfaat dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi baru yang strategik.

Mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu turut bersetuju sektor angkasa dijangka menyediakan platform pembangunan teknologi berkaitan angkasa lepas.

Najib berkata, Dasar Angkasa Negara asas kepada penggubalan Akta Angkasa Lepas yang diwujudkan bagi mengawal selia aktiviti dan operasi berkaitan sektor angkasa lepas seperti pelancaran dan pengoperasian satelit, pendaftaran objek yang dilancarkan ke angkasa lepas, pengoperasian stesen Bumi dan aktiviti lain yang berkaitan.

“Pada awal tahun ini, negara berbangga dengan kejayaan luar biasa saintis muda Malaysia, Nur Adlyka Ainul Annuar yang membongkar kewujudan lohong hitam gergasi dan mendapat liputan meluas media di seluruh dunia.

“Harapan saya kejayaan saintis muda itu memberi perangsang dan inspirasi kepada generasi muda menceburi bidang astronomi dan astrofizik di Malaysia,” katanya ketika menyampaikan perutusan pada Mesyuarat NSC Bil. 1 Tahun 2017, di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Dalam pada itu, mesyuarat sama turut bersetuju dengan cadangan pelaksanaan mekanisme rangkaian kerjasama mewujudkan industri baru berpaksikan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) seperti Industri 4.0, Fintech dalam kewangan Islam, Sistem Penyampaian Maya dan Rantaian Industri Halal.

Selain itu, NSC juga bersetuju menerima pakai The Malaysian Code of Responsible Conduct in Research (MCRCR) sebagai kod etika dan sumber rujukan utama bagi semua penyelidik di Malaysia.

Ia bertujuan mempertahankan reputasi sesuatu penyelidikan daripada aktiviti menciplak dan memutarbelit fakta.

Sementara itu, NSC turut mengambil maklum pencapaian Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam bidang sains.

Terdahulu, Najib dalam perutusan sama berkata, bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) amat penting untuk menyediakan peluang kerjaya pada masa depan dan persediaan Malaysia menghadapi Revolusi Industri Keempat.

“Forum Ekonomi Dunia (WEF) menjangkakan 65 peratus daripada kanak-kanak yang memasuki sekolah rendah hari ini bekerja dalam jenis pekerjaan baru dan belum wujud pada masa kini.

“Justeru, pembangunan dan kemajuan negara pada masa depan berkait rapat dengan penguasaan dalam sains dan kompetitif dalam apa jua keadaan,” katanya.

Disiarkan pada: February 8, 2017 @ 6:25am
d