mutakhir

'Jiwa saya kosong'

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Kuantan: “Saya tidak boleh tengok lombong bauksit itu kerana setiap kali memandangnya, pasti terbayang anak saya lemas di dalamnya,” kata Nor Habibah Aidil, 50, ibu kepada kanak-kanak lemas dalam kolam bekas lombong bauksit di Taman Sungai Karang Jaya, di sini, Sabtu lalu.

Katanya, sehingga kini dia tidak pernah menjejakkan kaki ke kawasan bekas lombong yang mengorbankan nyawa anak bongsunya, Nureen Ain Juwita Mohd Sharif, 10.

Malah, Habibah yang masih trauma akibat kehilangan satu-satunya anak perempuan langsung tidak mahu melihat sebarang gambar berkaitan kejadian yang dikongsi saudaranya.

Katanya, selepas tiga hari pemergian anaknya itu, jiwanya kosong, malah rumahnya juga seolah-olah hilang seri kerana Nureen Ain seorang yang sangat ceria.

“Dia seorang yang ceria, bila dia tiada saya rasa kosong dan sunyi, dia satu-satunya anak perempuan saya, jadi saya amat merasai kehilangannya.

“Saya tidak sangka lombong bauksit yang saya lihat hampir setiap hari akan meragut nyawa anak saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Karang Darat, di sini, semalam.

Habibah ditemui selepas menerima lawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Shahaniza Shamsuddin.

Ibu kepada enam anak itu berkata, selama ini dia tidak mengetahui kewujudan kolam di lombong berkenaan dan Nureen Ain tidak pernah bermain di kawasan terbabit.

“Sebelum ini, saya hanya lihat bukit (tanah bauksit) bertimbun dan tahu ada aktiviti (perlombongan) bauksit di kawasan itu, tetapi tidak tahu pula ada kolam di situ.

“Saya tidak sangka Nureen Ain akan bermain di situ bersama rakannya,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan saman yang akan diambil oleh bapanya, Nor Habibah berkata dia menyokong sepenuhnya tindakan berkenaan.

“Ayah sangat sayangkan Nureen Ain dan dia sukar menerima kejadian ini menimpa cucunya, itu yang mendorongnya untuk mengambil tindakan itu (saman).

“Buat masa ini, saya tidak mengetahui dengan lebih lanjut berhubung perkara itu dan biarlah ayah yang menguruskannya,” katanya.

Disiarkan pada: February 8, 2017 @ 6:37am
d