mutakhir

Berus rambut bulu babi

Klang: Berus rambut diperbuat daripada bulu babi diselit bersama produk halal. Tindakan itu dibongkar penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi (KPDNKK) Selangor dalam pemeriksaan di sebuah premis di Bukit Raja di sini, semalam.

Dalam pemeriksaan kira-kira jam 12 tengah hari itu, premis berkenaan didapati tidak mengasingkan berus berkenaan walaupun meletakkan tanda tidak halal, sekali gus boleh menimbulkan kekeliruan kepada pengguna.

Ketua Penguat Kuasa KPDNKK Selangor Abdul Rosik Yakub berkata, amaran dikeluarkan kepada pengurusan premis itu berikutan tidak mengasingkan bahan tidak halal dengan barangan lain.

“Kami memberi amaran dan mengarahkan pengurus premis itu mengasingkan produk tidak halal itu di tempat lain.

“Pengasingan barangan halal dan tidak halal perlu bagi mengelak kekeliruan kepada pengguna khususnya yang beragama Islam,” katanya.

Difahamkan, pengurus premis itu tidak mengetahui keperluan untuk mengasingkan barangan yang diperbuat daripada bulu babi walaupun sudah meletakkan tanda tidak halal.

Sementara itu, Abdul Rosik berkata, pihaknya turut merampas 10 jenis berus cat berukuran 2.5 sentimeter dan 5 sentimeter yang disyaki menggunakan bulu babi di premis sama.

“Semua berus berkenaan akan dihantar ke Jabatan Kimia bagi mengesahkan jenis bulu yang digunakan.

“Peniaga yang gagal mematuhi perintah itu boleh didakwa mengikut Seksyen 29 Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Disiarkan pada: February 9, 2017 @ 7:42am
d