mutakhir

Sinar baru 48 pesakit buah pinggang

Serdang: “Kami tidak tahu nak berterima kasih macam mana lagi, senyuman daripada pesakit menggambarkan segala-galanya,” kata Ketua Pegawai Operasi Mawar Medical Centre A Karthigayan yang menerima dua mesin hemodialisis sumbangan Yayasan Eco World, di Pusat Hemodialisis Mawar (PHM) Sri Kembangan, di sini, semalam.

Sumbangan mesin hemodialisis itu diserahkan Pengerusi Yayasan Eco World Tan Sri Lee Lam Thye kepada Pengerusi PHM Datin Chua Lay Ping.

Menurut Karthigayan, pemberian mesin baru itu memberi sinar kepada 48 pesakit buah pinggang di PHM Sri Kembangan yang kebanyakan menggunakan mesin dialisis berusia lebih 15 tahun.

“Kami memiliki 12 mesin berlesen tetapi sebahagiannya sudah uzur, untuk menyelenggarakannya memerlukan kos yang tinggi.

“Pesakit di sini akan menjalani rawatan sebanyak tiga kali seminggu selama empat jam bagi setiap sesi dan ia sentiasa penuh,” katanya.

Menurut beliau, pesakit PHM adalah daripada golongan berpendapatan rendah dan menerima subsidi daripada kerajaan bagi bayaran rawatan dialisis.

Sementara itu, Lee berkata, sumbangan mesin itu bagi memudahkan PHM menyediakan perkhidmatan hemodialisis yang bergantung kepada 12 mesin.

“Ia sekali gus dapat membantu pesakit buah pinggang kronik yang kurang mampu untuk menjalani dialisis di sini.

“Malah ia juga dapat membantu mempertingkatkan khidmat hemodialisis bagi membantu pesakit di pusat ini,” katanya.

Disiarkan pada: February 9, 2017 @ 7:44am
d