mutakhir

Kulit kepala koyak

Oleh Nadzreen Shah Mat Salim

Kuala Lumpur: Seorang pengawal keselamatan terkoyak kulit kepala sejurusmotosikal yang ditunggangnya merempuh belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Ipoh berhampiran Stesen Komuter (KTM) Taman Wahyu, di sini.

Dalam kejadian jam 9 malam kelmarin, mangsa, Muhammad Shajuddin Rizal Mojiyadeen, 18, dalam perjalanan dari rumahnya ke tempat kerja di Bukit Tunku di sini.

Pegawai Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur Leftenan Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.03 malam dan sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Seramai empat anggota bergegas ke lokasi dan didapati terdapat seorang remaja lelaki mengalami kecederaan parah,” katanya.

Menurut Shahrul Kamar, mangsa tercampak sehingga cedera di bahagian kiri kepala, patah tulang paha kanan dan luka terbuka di dagu.

“Salah seorang saksi kejadian mendakwa terdengar bunyi dentuman yang kuat di lokasi kejadian dan didapati terdapat penunggang motosikal sedang terbaring di atas jalan,” katanya.

Dia berkata, anggota APM yang berada di lokasi segera memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa yang tercedera.

“Mangsa dalam keadaan separuh sedar ketika anggota memberikan rawatan kepadanya,” katanya.

Shahrul Kamar berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Disiarkan pada: February 9, 2017 @ 7:48am
d