mutakhir

Perang habis!

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Lima kumpulan kongsi gelap terkenal tumbang satu persatu selepas 114 ahlinya termasuk tujuh pemimpin kanan bergelar Datuk dan seorang Datuk Seri ditahan polis melalui operasi Op Cantas Jenayah Terancang.

Tangkapan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman membabitkan tiga pasukan elit iaitu Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING), Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFFOC) dan Pasukan Taktikal Khas Antimaksiat Judi dan Gangsterisme (STAGG) sejak tahun 2015.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, semua suspek berusia antara 19 dan 62 tahun itu dipercayai terbabit dalam puluhan kes termasuk pembunuhan berprofil tinggi, samun, penculikan, pengedaran dadah dan mendatangkan kecederaan.

Menurutnya, sebahagian besar kes itu dilaporkan di Pulau Pinang, Johor, Perak dan Lembah Klang.

Beliau berkata, suspek ditahan membabitkan anggota Geng 04 Paper Kumar, Geng 21 Japan, Geng William, Geng 24 dan Geng 36 Devan yang dipercayai aktif melakukan pelbagai jenayah terancang di negara ini.

“Melalui operasi itu polis yakin melumpuhkan sepenuhnya kumpulan Geng 21 Japan susulan tangkapan pemimpin dan semua ahli geng berkenaan.

“Selain itu kami percaya dapat menyelesaikan kes pembunuhan ahli Geng 36 yang ditembak mati pada 2 Mac 2015 lalu, kes penculikan di Wilayah Iskandar, Johor, kes tembak seorang wanita di Bukit OUG di sini, pada 6 Julai 2016 lalu dan kes samun dan pecah rumah di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Mohmad berkata, polis turut menyelesaikan kes penculikan seorang lelaki bergelar Datuk di Bandar Indera Mahkota, Kuantan pada 26 Disember 2015 lalu dan 32 kes jenayah merangkumi bunuh, pergaduhan, mendatangkan cedera dan pemerasan di Pulau Pinang.

“Selain itu kes seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang diculik dan dibunuh pada 13 Januari 2015 dan kes pembunuhan seorang lelaki bergelar Datuk M turut diselesaikan.

“Hasil operasi itu, polis merampas satu raifal, 22 pucuk pistol, 916 peluru, dadah bernilai RM1.75 juta serta wang tunai dan barang kemas berjumlah RM167,193,” katanya.

Menurut Mohmad, pihaknya kini masih mengesan beberapa ahli kongsi gelap yang menyimpan senjata api dan mempunyai kaitan kes jenayah bersenjata.

“Polis juga yakin dapat menyelesaikan banyak kes bunuh berprofil tinggi dan jenayah terancang di negara ini.

“Semua individu ditahan disiasat mengikut Akta Keselamatan Khas (Langkah-langkah pencegahan khas), Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 8, Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan Seksyen 8 Akta Senjatapi 1971,” katanya.

Disiarkan pada: February 9, 2017 @ 8:18am
d