mutakhir

Hidup mati bersama

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Khairul Najib Asarulah Khan

Seremban: “Selalunya suami akan ke tempat kerja dengan menunggang motosikal, tetapi hujan lebat pagi tadi (semalam) menyebabkan dia menumpang kereta rakan.

“Kami sekeluarga tidak menyangka itu detik terakhirnya,” kata Suzila Shamsudin, 29, isteri kepada pegawai di Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Kuala Pilah, Zahari Mashor, 33, yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Seremban-Kuala Pilah, berhampiran Bukit Putus, dekat sini, semalam.

Selain Zahari, rakan baiknya Shahrulnizam Abu Hasan, 39, yang juga kakitangan Bank Rakyat Cawangan Kuala Pilah turut terbunuh sebaik kereta Perodua Kelisa dinaiki dirempuh sebuah Perodua Myvi.

Dalam kejadian jam 8.10 pagi, kedua-dua mangsa dari Seremban menuju Kuala Pilah dilanggar kereta itu yang dikatakan gagal memotong kenderaan di hadapan di laluan bertentangan.

Suzila yang juga pegawai di jabatan sama di Seremban berkata, dia menerima panggilan daripada rakan suaminya kira-kira jam 9 pagi memaklumkan kejadian itu.

“Jantung saya berdegup kencang sebaik diberitahu suami meninggal dunia menyebabkan saya bergegas ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ),” katanya.

Menurut Suzila, dia runsing memikirkan nasib tiga anak perempuan berusia tiga bulan hingga enam tahun yang kehilangan bapa.

“Ketiga-tiga anak memang rapat dengan arwah biarpun ditempatkan di rumah pengasuh serta taska,” katanya memberitahu dia dan arwah berpindah di rumah baru dibeli di Ampangan, di sini, pada 21 Januari lalu.

Katanya, jenazah suaminya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Senawang, di sini, selepas solat Zuhur, semalam.

Sementara itu, adik kepada Shahrulnizam, Shahrin, 37, pula berkata, arwah abangnya dan Zahari berkawan baik sejak kecil kerana membesar bersama di FELDA Pasir Besar, Gemas, dekat sini.

“Apa juga keadaan, mereka berdua akan saling membantu biarpun dalam keadaan kekurangan. Tidak disangka mereka terkorban bersama,” katanya memaklumkan kali terakhir dia berjumpa abangnya minggu lalu. Jenazah arwah dikebumikan di Muar, Johor.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, kejadian berlaku sebaik Perodua Myvi terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh Perodua Kelisa hingga kenderaan itu terputus dua.

Katanya, pemandu dan penumpang Perodua Kelisa terbunuh akibat tersepit manakala tiga wanita dan seorang lelaki dalam kereta Myvi parah.

Dua daripada empat yang parah dikenal pasti sebagai Nurul Syafina Abdul Mulop, 23, dan Nursyahira Adila Saiful Zaman, 20, manakala identiti dua lagi mangsa belum diperolehi.

“Mayat mangsa yang maut dan mangsa cedera dibawa ke HTJ untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: February 9, 2017 @ 8:34am
d