mutakhir

Nelayan guna pukat rawa surong terjun laut

Alor Setar: Seorang nelayan yang menangkap ikan dengan bot pukat rawa surong nekad terjun dalam laut dan berenang ke tepi pantai sebelum melarikan diri selepas panik melihat bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), semalam.

Dalam kejadian 5.20 pagi, bot dibawa lelaki terbabit dikesan memukat ikan secara haram menggunakan pukat rawa surong pada jarak 0.6 Batu Nautika barat Pantai Yan.

Pengarah Maritim Pangkalan Kuala Kedah Leftenan Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata, sebaik menyedari kehadiran bot penguat kuasa APMM, nelayan terbabit cuba melarikan diri dengan membawa botnya ke kawasan cetek.

Menurutnya, lelaki itu terjun ke laut dan berenang ke tepi pantai sebelum melarikan diri.

“Pemeriksaan di dalam bot itu menemui peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan sebanyak tiga kilogram dirampas.

“Bot itu kemudian dibawa ke Jeti Pangkalan Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Ahmad Kamal berkata, aktiviti rawa surong ini akan terus dibanteras kerana ia menjejaskan ekosistem hidupan laut.

Beliau juga berharap kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim yang berlaku di perairan negara ini.

Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan ditalian 24jam MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Pangkalan Kuala Kedah ditalian 04-731 0579.

Disiarkan pada: February 10, 2017 @ 6:19am
d