mutakhir

Tuah resipi ibu mentua

Oleh Hayati Nasrah

Sandakan: “Pada mulanya saya cuba-cuba saja menjual jamu ini. Tak sangka, ia mendapat sambutan hangat daripada pelanggan,” kata penjual jamu beras kencur, Saidah Nafisah Almardzuki, 26.

Menurut wanita itu, ilham menghasilkan jamu lahir apabila dia mengamalkannya sejak remaja sehingga mendirikan rumah tangga.

Tambahan pula ibu mentuanya yang berasal dari Indonesia memang hebat dalam amalan pemakanan jamu kecantikan dan kesihatan.

Dia yang berkongsi amalan menerusi perniagaan jamu gembira apabila meraih pendapatan lumayan mencecah RM1,600 seminggu dan hanya membuat jualan secara dalam talian menerusi akaun Facebook (FB) miliknya.

Difahamkan, jamu beras kencur hanya menggunakan bahan semula jadi antara lain kunyit, halia dan beras selain menggunakan kencur atau dikenali sebagai cekur dalam kalangan masyarakat tempatan sebagai bahan utama.

Bukan itu saja, Nafisah turut menggunakan manjakani sebagai bahan istimewa kerana memikirkan khasiat yang ada dalam bahan itu.

“Ada juga penjual jamu yang meletakkan serbuk kayu manis, tetapi saya lebih suka menggunakan manjakani.

“Selain itu, saya mencampurkan sedikit gula Melaka supaya tidak terlalu pahit dan kelat. Ternyata pelanggan menggemarinya dan memberikan maklum balas positif,” katanya yang mula berniaga lebih lima bulan lalu.

Menurutnya, kebaikan jamu beras kencur itu mampu memulihkan kitaran haid yang terganggu, awet muda dan boleh dijadikan sebagai makanan diet jika ingin menjadi ramping.

Kebanyakan pelanggan berpuas hati kerana memiliki kulit wajah yang lembut dan mulus selepas mengamalkan jamu itu.

Katanya, dia amat menitikberatkan soal kualiti jamu beras kencur itu dari aspek kepekatan air selain bahan digunakan yang bermutu tinggi.

Katanya, dia dan suami, Andis Alimudin, 33, sanggup bersengkang mata membuat jamu sehari sebelum proses penghantaran kepada pelanggan.

Masa penghantaran pula dibuat bermula jam 11 pagi hingga 4 petang, sekali gus tidak mengenakan sebarang caj bayaran untuk penghantaran.

Disiarkan pada: February 11, 2017 @ 7:38am
d