mutakhir

Kaku dalam talian

Oleh Omar Osman

Sungai Petani: “Saya tergamam dan sebak melihat wajah isteri lelaki itu di skrin telefon bimbit jatuh di sisinya yang sudah kaku sambil memanggil ‘hello’ beberapa kali sebelum panggilan itu terputus.”

Demikian kata lelaki yang mahu dikenali sebagai Man, 45, ketika menceritakan kejadian lelaki warga Sri Lanka berusia 49 tahun maut dihentak dengan batu konkrit oleh dua rakan sekerja di Sidam Kiri, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa dikatakan berbual melalui panggilan video dengan isteri di Sri Lanka di kawasan lapang di depan rumah pekerja ladang kelapa sawit di Ladang Padang Buluh, Sidam Kiri, di sini.

Menurut Man, pada jam 9.10 malam dia terkejut beberapa pekerja ladang datang ke rumah memaklumkan mangsa dalam keadaan tertiarap dan tidak bergerak di hadapan rumah, lalu bergegas memeriksa apa yang berlaku.

“Sebaik tiba, saya lihat lelaki itu dalam keadaan kaku dan kepalanya berlumuran darah. Ketika itu saya terpandang telefon bimbit berada di tepinya dan wajah isteri lelaki itu di skrin telefon itu sambil memanggil ‘hello’ beberapa kali sebelum talian terputus.

“Biarpun ingin menjawab panggilan isterinya bagi memberitahu keadaan suaminya, saya tidak berani menyentuh telefon sebelum menelefon pengurus ladang serta ambulans dan polis.

“Saya dimaklumkan pekerja, sebelum kejadian mereka melihat mangsa keluar dan duduk tidak jauh dari rumah sambil bercakap dengan isterinya melalui panggilan video sebelum dua lelaki memukulnya dari belakang,” katanya.

Man berkata, dia difahamkan jam 7.30 malam mangsa dan seorang suspek dikatakan bergaduh, namun dileraikan rakan.

“Difahamkan, lelaki itu dibunuh disebabkan suspek tidak berpuas hati dia sering dilayan baik pekerja tempatan disebabkan sikapnya yang ringan tulang,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, polis menerima panggilan jam 10.20 malam memaklumkan seorang lelaki warga Sri Lanka ditemui mati akibat dibunuh di hadapan rumah.

Katanya, sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian menemui mayat mangsa tertiarap dengan kesan cedera di kepala, selain seketul batu konkrit dan tidak jauh dari mangsa serta telefon bimbit.

“Mangsa mati akibat dihentak dengan batu konkrit di belakang kepala. Mangsa ketika itu berbual dengan isteri tidak menyedari kehadiran dua suspek.

“Akibat hentakan itu mangsa mati dan kejadian dipercayai berlaku selepas terjadi pertengkaran antara mangsa dan suspek pada Rabu dan berlarutan sehingga malam tadi (kelmarin).

“Siasatan mendapati ketika kejadian suspek dan mangsa dalam keadaan mabuk. Polis menahan dua lelaki berusia 27 dan 30 dari India dan Sri Lanka di dalam rumah mangsa,” katanya.

Disiarkan pada: February 11, 2017 @ 7:43am
d