mutakhir

Duka bertamu lagi

Oleh Azlan Hafeedz

Pasir Puteh: Sedih dan hiba kerana pemergian anak sulungnya pada November lalu masih bersarang di hati, seorang ayah diuji lagi dengan kehilangan anak keempatnya yang lemas di sungai, petang kelmarin.

Ujian kedua itu nyata berat dipikul Azmi Abu Bakar, 51, dan sukar untuknya menyembunyikan kesedihan selepas kehilangan dua anak kesayangan dalam tempoh tiga bulan.

Dalam kejadian jam 7.40 malam kelmarin, mayat anak keempat daripada enam beradik, Adam Mukhriz, 11, ditemui lemas di dasar Sungai Gaal, kira-kira satu kilometer dari rumah mereka di Kampung Gaal Tengah, di sini.

Portal Harian Metro malam kelmarin melaporkan mayat kanak-kanak itu dijumpai di dasar sungai oleh penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh dalam operasi yang berlangsung 19 minit.

Azmi berkata, dia tidak menduga kehilangan anaknya kerana empat jam sebelum kejadian, Adam Mukhriz sempat bergurau dan bermanja dengannya termasuk ‘menunggang’ belakang badannya seperti kuda.

“Arwah tidak pernah begitu. Dia suka mengusap misai saya. Manjanya berlebihan, namun tidak langsung mendatangkan syak kepada saya kerana saya tetap melayani kemanjaannya itu.

“Saya anggap dia penyeri keluarga kami dan ubat duka selepas abang sulungnya, Mohd Fakirullah, 26, meninggal dunia akibat penyakit kayap pada November tahun lalu.

“Tetapi semalam (kelmarin), Adam pula meninggalkan kami sekeluarga buat selama-lamanya,” katanya di rumahnya, semalam.

Namun, Azmi reda dengan ketentuan Illahi dan menganggap takdir Allah SWT.

Sementara isterinya, Nazimah Mustapha, 44, masih terkejut dengan kejadian itu dan memaklumkan anaknya sempat menikmati masakan ayam goreng kicap buat kali terakhir sebelum keluar rumah jam 5.30 petang.

Jenazah kanak-kanak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Dir, Gaal di sebelah kubur arwah abangnya sejurus bedah siasat selesai, malam kelmarin.

Adam Mukhriz lemas di sungai itu ketika mandi bersama dua rakannya, Wan Mohamad Aqmar Wan Abd Razak, 11, dan Nor Mohamad Izzat Izuan, 11, yang juga rakan sekelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Gaal.

Nor Mohamad Izzat berkata, arwah dan Wan Mohamad Aqmar datang ke rumahnya di Kampung Gaal Hilir pada jam 6 petang untuk mengajak mandi sungai tidak jauh dari rumah mereka.

“Ketika mandi, arwah berenang di depan mengatasi saya dan Aqmar. Tiba-tiba saya dengar jeritan minta tolong dan apabila menoleh, saya lihat Aqmar hampir tenggelam, tetapi sempat mencapai tangannya.

“Cuma saya tidak nampak Adam. Dia gagal berpaut dan terus hilang. Saya dan Aqmar diselamatkan orang kampung,” katanya yang memberitahu sedih kehilangan rakan baiknya dan berjanji tidak mendekati sungai lagi.

Katanya, kejadian itu mendatangkan trauma kepadanya dan akan diingati sampai bila-bila.

Disiarkan pada: February 11, 2017 @ 8:23am
d