mutakhir

Terlantar di katil lepas buang ketumbuhan

Kuala Lumpur: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Itu perumpamaan menggambarkan penderitaan ditanggung ibu kepada seorang kanak-kanak menghidap penyakit kanser otak tahap empat dan kini menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Irma Farina Darawin, 46, dari Negeri Sembilan bukan saja terpaksa memendam perasaan melihat penderitaan anaknya menanggung penyakit berkenaan, tetapi juga kesakitannya menjalani 30 sesi rawatan radioterapi dan 10 rawatan kemoterapi.

Siti Aishah Mohd Samsul, 13, menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di kepalanya pada Februari tahun lalu dan sejak itu dia hanya terlantar di atas katil.

Dia juga antara 30 pesakit Wad Kanak-kanak 3 HKL yang diraikan oleh Persatuan Empayar Kebajikan Malaysia (PEKM) dan Persatuan Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-anak Wad Kanak-kanak 3 HKL sempena perayaan Tahun Baru Cina serta Majlis Hari Jadi, semalam.

Berkongsi kisah sedih hidupnya, ibu kepada empat anak itu berkata, dia mengetahui penyakit dihidapi anaknya apabila Siti Aishah tidak boleh berjalan dengan sempurna selepas terjatuh ketika berusia 12 tahun selain pertuturannya menjadi semakin tidak jelas.

“Hasil pemeriksaan X-ray dan MRI (Imej Resonan Magnetik) di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban mendapati terdapat ketumbuhan di kepala anak.

“Kemudian anak dirujuk ke HKL untuk pemeriksaan lanjut dan pembedahan serta rawatan susulan.

“Hari ini (semalam) adalah rawatan kemoterapi yang terakhir anak (ke-10) dan berharap keadaan kesihatan Siti Aishah lebih baik selepas ini,” katanya.

Katanya, meskipun doktor tidak memberikan sebarang jaminan anaknya akan pulih sepenuhnya, tetapi dia tetap mengharapkan agar ada keajaiban daripada Allah berlaku ke atas Siti Aishah.

Sementara itu, Pengurus PEKM Mohd Ashraff Khan Najib berkata, dia bekerjasama dengan Persatuan Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-anak Wad Kanak-kanak 3 HKL untuk mengadakan majlis berkenaan bertujuan menceriakan pesakit yang terdiri daripada pelbagai jenis penyakit.

“Kita berharap dengan keceriaan ini dapat membantu mempercepatkan proses pemulihan pesakit.

“Ini juga salah satu bentuk bantuan sokongan moral kepada ibu pesakit sepanjang menjaga anak di wad,” katanya.

Disiarkan pada: February 12, 2017 @ 6:42am
d