mutakhir

Pembalakan undang pencemaran air

Lipis: Pertubuhan Khazanah Alam Malaysia (PEKA) menggesa kerajaan negeri menyiasat aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kekal Yong, di sini, yang menimbulkan keresahan penduduk
di kawasan berkenaan.

Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, aktiviti pembalakan di kawasan itu berlarutan sejak 15 tahun menyebabkan penduduk berdepan masalah pencemaran air apabila Sungai Jelai menjadi cetek dan berkeladak.

“Penduduk tertanya-tanya sama ada aktiviti pembalakan itu dilakukan secara haram atau sebaliknya kerana tiada papan tanda berkaitan diletakkan di kawasan berkenaan.

“Kerajaan negeri perlu menyiasat hal ini kerana mendatangkan kesan buruk kepada alam sekitar dan menimbulkan masalah kepada penduduk,” katanya, di sini.

Tinjauan PEKA bersama wakil media di Mukim Cheka Satu mendapati beberapa kampung di pesisir Sungai Jelai termasuk Kampung Gemunchor, Kampung Chagar dan Kampung Teluk Bungor terdedah kepada kesan kemusnahan alam sekitar dan banjir akibat aktiviti itu.

Sementara itu, Ketua Kampung Gemunchong Roslan Idris, 59, tidak menafikan kegiatan pembalakan menyebabkan air Sungai Jelai yang menjadi sumber air penduduk kampung di situ terjejas terutama selepas hujan.

“Setiap kali hujan, air sungai berubah menjadi keruh menyebabkan bekalan air terputus kerana loji berhampiran tidak mampu menapis selut sungai berkenaan.

“Banjir juga lebih teruk jika dibandingkan sebelum pembalakan dilakukan di kawasan itu,” katanya.

Disiarkan pada: February 12, 2017 @ 6:50am
d