mutakhir

Tunggu kelulusan Bangladesh

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Perairan Myanmar: “Saya berharap agar kerajaan Bangladesh memberi visa ketibaan (VOA) untuk turun di tiga tempat ini untuk sukarelawan menyerahkan sumbangan rakyat Malaysia.

“Kita akan turun ke kem, serahkan barangan lebih 2,100 tan ini selepas itu pulang ke Malaysia. Jadi kita mohon diberikan kebenaran,” kata Ketua Misi Food Flotila For Myanmar, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Ini kerana penganjur membuat permohonan masuk ke tiga kawasan iaitu Kem Musuni, Teknaf dan dua penempatan di Kem Kutupalong Cox’s Bazar.

Katanya, permintaan itu dibuat menerusi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh Nur Ashikin Mohd Taib dan berharap ia diluluskan selewat-lewatnya hari ini.

Abdul Azeez berkata, Kem Musuni, Teknaf mempunyai 1,600 keluarga, penempatan baru di Kutupalong mempunyai 6,347 keluarga manakala penempatan lama didiami 5,700 keluarga.

“Selain itu kita juga akan menyerahkan bekalan ubatan dan barangan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah dan Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM), badan yang diiktiraf untuk mengagihkan sumbangan di sana.

“Pasukan peninjau terdiri daripada Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir dan Naib Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Ahmad Tarmizi Sulaiman sudah berada di Dhaka untuk menguruskan logistik dan sebagainya,” katanya.

Nautical Aliya yang ketika ini dalam pelayaran menuju Chittagong dijangka tiba Isnin ini untuk misi memberi bantuan kepada masyarakat Muslim yang terjejas akibat konflik, 9 Oktober tahun lalu.

Disiarkan pada: February 12, 2017 @ 7:05am
d