mutakhir

Jamu makan percuma setiap minggu

Butterworth: Setiap malam minggu, kawasan bawah jejantas Terminal Penang Sentral meriah dengan kehadiran kumpulan gelandangan yang mahu menikmati hidangan percuma disediakan kepada mereka oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO), di sini.

Jamuan percuma itu bermula dari jam 9 malam hingga 12 tengah malam dan mereka bebas memilih lauk disediakan sebelum menjamu selera di atas tembok.

Juadah berupa nasi dan teh tarik disediakan sendiri ahli Pertubuhan Ikhlas Utara Malaysia (IKHLAS) yang bekerjasama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Taman Putra Bertam, Rukun Tetangga (RT) Kluster Kos Rendah Taman Putra Bertam serta Jiran Wanita (JW) taman itu.

Turut terbabit dalam program itu ialah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang mencari syarikat berminat mengambil gelandangan sebagai pekerja.

Seorang gelandangan, Muhammad Ridzuan Abdullah, 41, yang juga mualaf berkata, dia ke Terminal Penang Sentral setiap malam hujung minggu semata-mata untuk menikmati makanan percuma.

Dia yang berasal dari Juru, Bukit Mertajam berkata, kesempitan hidup selain dibuang keluarga menyebabkan dia perlu berjimat cermat membeli makanan.

“Saya seronok datang ke sini kerana boleh jumpa rakan senasib dan menganggap mereka seperti saudara sendiri.

“Makanan disediakan juga sedap, selain membantu saya menjimatkan wang,” katanya.

Pengerusi IKHLAS Yahya Amir berkata, minat melakukan kerja kebajikan sejak remaja mendorongnya mengambil inisiatif menyediakan makanan percuma kepada golongan gelandangan.

Katanya, sekitar 60 gelandangan menikmati makanan percuma yang disediakan setiap malam minggu dan program berkenaan akan diteruskan selagi mendapat sokongan individu yang menghulurkan sumbangan untuk membeli bahan makanan.

Pengerusi RT Taman Kluster Kos Rendah Putra Bertam Ruzi Ahmad berkata, pihaknya bekerjasama dengan JW taman berkenaan mengutip sumbangan penduduk bagi menyediakan makanan kepada gelandangan terbabit.

Pengerusi JW taman itu, Sabilah Abu Bakar berkata, pihaknya mendapatkan kerjasama JTK membantu gelandangan yang mahu memohon pekerjaan.

Disiarkan pada: February 13, 2017 @ 7:04am
d