mutakhir

Perlu dana RM500,000 bawa 45 tunai umrah

Kuala Lumpur: Pertubuhan Kembara Iman memerlukan dana berjumlah RM500,000 untuk membawa 45 saudara baharu menunaikan umrah sempena program Kembara Iman 2017.

Pengerusinya, Adam Corrie Abdullah berkata, mereka merancang menjayakan program Kembara Iman Siri Ke-3 ini mulai bulan ini, tetapi tiada dana melaksanakannya.

Menurutnya, mereka menunda program terbabit pada April atau November ini namun ia masih bergantung kepada dana.

“Pada tahun lalu, kami membawa 57 orang saudara baharu dengan dana RM386,000 dikumpulkan dalam tempoh tiga bulan dan kami harap dapat mengumpul dana.

“Kembara Iman memasuki siri ketiga ini memilih membawa mereka yang memeluk Islam dalam tempoh setahun hingga lima tahun kerana ini tempoh kritikal mualaf,” katanya ketika Pelancaran Kembara Iman Saudara Baru Siri Ke-3 dan Program Keluarga Mawaddah 2017 di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) di sini, semalam.

Katanya, Kembara Iman bertujuan menguatkan iman serta akidah saudara baru serta menunjukkan kepada mereka lokasi Rasulullah mengembangkan Islam.

“Selain itu, program kali ini berbeza kerana ada pengajian berkitab dijalankan di Makkah setiap lepas solat Asar. Peserta umrah perlu menamatkan bacaan kitab fikh mualaf dan boleh bertanyakan kemusykilan ketika sesi pengajian berkitab,” katanya mereka yang ingin memberi sumbangan boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenainya di laman Facebook Kembara Iman Saudara Baru.

Disiarkan pada: February 13, 2017 @ 7:12am
d