mutakhir

Awas Dego Ride!

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Operasi penyamaran oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dikuatkuasakan serta-merta bagi membanteras perkhidmatan teksi motosikal Dego Ride.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, operasi itu dilaksanakan bagi menahan mana-mana pihak yang terbabit dalam menjalankan perkhidmatan berkenaan atas alasan faktor keselamatan.

Katanya, pihaknya tidak membenarkan perkhidmatan itu kerana dari segi keselamatan jalan raya, ia tidak membantu dalam mengurangkan kadar kemalangan.

“Saya turut meminta syarikat pengendali supaya tidak mencabar undang-undang negara, malah kita mempunyai undang-undang spesifik dan boleh mengambil tindakan kepada mereka yang menjalankan perkhidmatan ini.

“Mengikut Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan 1987, jelas bahawa lesen motosikal tidak boleh digunakan untuk membawa penumpang sekali gus tidak boleh digunakan untuk mencari keuntungan secara komersial,” katanya pada sidang media perhimpunan bulanan kementerian dan sambutan Tahun Baru Cina di sini, semalam.

Katanya, menerusi peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 16 dan 47 Akta SPAD 2010, mana-mana kenderaan digunakan untuk komersial perlu ada lesen serta tidak boleh membawanya tanpa permit.

Liow berkata, jika masih ada pihak yang berdegil, pihaknya boleh mengeluarkan saman kepada penunggang malah, SPAD boleh mengambil tindakan terhadap syarikat pengendali.

“Kita juga menasihatkan orang ramai supaya mengambil berat aspek keselamatan serta tidak menggunakan perkhidmatan Dego Ride ini jika mahu elak kesesakan lalu lintas,” katanya, semalam.

Dalam pada itu, Liow berkata, sehingga kini, syarikat pengendali Dego Ride belum memberi maklum balas sama ada daripada kementerian atau agensi penguat kuasa mengenai arahan pemberhentian operasi itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan SPAD bagi membenarkan teksi mini selain teksi dan bas tertentu sebagai pengangkutan ‘last mile’ iaitu pengangkutan dari stesen tren ke tempat kerja dan kediaman masing-masing.

Disiarkan pada: February 14, 2017 @ 3:55am
d