mutakhir

Umur panjang kereta masuk parit

Sabak Bernam: Seorang lelaki terselamat biarpun kereta dipandu terbabas dan terjunam ke dalam parit di Parit 7 Sungai Leman, Sekinchan di sini, awal pagi semalam.

Kejadian jam 4 pagi itu hanya menyebabkan mangsa berusia 40-an cedera ringan.

Sumber berkata, mangsa yang memandu kereta Proton Saga itu dari arah Sekinchan menuju ke Sungai Besar.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dikatakan hilang kawalan dan terbabas ke dalam parit berkenaan.

“Dia bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami luka kecil,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan Muhammad Ishak berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.15 pagi.

“Sepasukan enam pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dikerah dalam operasi menyelamat berkenaan.

“Pemeriksaan bomba mendapati mangsa masih berada dalam kereta itu kerana terkejut dan berjaya dibawa keluar dengan selamat,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan lanjut.

Disiarkan pada: February 15, 2017 @ 2:38am
d