mutakhir

Mustajab milik Allah

Oleh Mohd Fadly Samsudin

Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengingatkan umat Islam supaya tidak terpedaya dengan individu atau pertubuhan menawarkan pakej khidmat Valet Doa di Makkah dengan harga tertentu termasuk harga diskaun.

Ketua Pengarahnya Tan Sri Othman Mustapha berkata, doa adalah permohonan untuk pertolongan seorang hamba kepada Allah SWT.

Menurutnya, Islam menggalakkan umatnya berdoa di mana saja mereka berada selain doa perlu menepati syarat dan adab supaya ia dimakbulkan.

“Sangat tidak wajar doa dijadikan produk atau perkhidmatan komersial kerana ia mempergunakan agama untuk habuan dunia dan mencemarkan kesucian Islam.

“Hak termakbul doa milik Allah SWT semata-semata, bukan terletak kepada manusia. Ia tidak boleh disamakan dengan badal haji kerana amalan itu boleh menerima upah,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, tidak wajar mana-mana individu menjamin doanya dimakbulkan Allah SWT.

“Pakej Valet Doa jelas menunjukkan unsur perniagaan serta menjaja menggunakan acara ibadat dan doa untuk perniagaan yang tidak dibenarkan Islam.

“Kami sarankan supaya umat Islam memberi maklumat kepada JAKIM dan Jabatan Agama Islam negeri sekiranya timbul sebarang keraguan atau kemusykilan terhadap sesuatu isu seperti ini demi menjaga kemaslahatan dan kesucian Islam di negara ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas perkara sama, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, pakej tawaran disediakan individu berkenaan tidak menepati Islam sebenar dan tidak mengikut syariat.

“Selepas meneliti isu ini, khidmat doa disertakan dengan pakej harga berbeza, ia seolah-olah mengikut tahap kemustajaban doa.

“Tiada dalam sejarah dan juga adab dalam kalangan salafussoleh berbuat demikian. Ini termasuk apabila Nabi Muhammad SAW mahu menyertakan doa Saidina Umar dengannya, tiada sebarang syarat kewangan, upah atau bayaran dikenakan Saidina Umar,” katanya.

Beliau berkata, tawaran pakej dengan nama seperti Pakej Raja Salman dan Pakej VIP sangat tidak berakhlak dan mengelirukan.

“Ia jelas menunjukkan sifat komersial dan memanipulasi doa. Dalam satu hadis diriwayatkan Abi Said RA, sabda Rasulullah SAW bermaksud, ‘Tiada seorang Islam berdoa dengan satu doa yang tiada padanya unsur dosa dan putus silaturahim kecuali Allah kurniakan kepadanya satu daripada tiga iaitu sama ada disegerakan doanya, ditangguhkannya untuk hari akhirat atau dihilangkan daripadanya kejahatan seumpamanya’.

“Kemudian sahabat berkata, ‘Kalau begitu, kami perbanyakkannya. Sabda baginda, ‘Ya, perbanyakkanlah’. (Riwayat Ahmad, no. 10749). Hadis ini menunjukkan doa dipohon seseorang diterima, tetapi bentuk penerimaannya pelbagai sama ada dimakbulkan segera, ditangguhkan ke hari akhirat atau dihilangkan keburukan seumpamanya.

“Ini yang ditafsirkan Ibn Hajar dalam Fath al-Bari,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan kalimah mustajab atau jaminan makbul yang difahami itu mengelirukan lebih-lebih lagi jaminan dan had masa tertentu untuk mendapatkannya.

“Kami sarankan perniagaan seperti ini dibatalkan supaya Islam dilihat sebagai agama yang mengikut neraca syariatnya serta terhindar daripada fitnah dan eksploitasi ibadat,” katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2017 @ 5:01am
d