mutakhir

Tanggung rugi RM5j sebulan

Oleh Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mendakwa terpaksa menanggung kerugian lebih RM5 juta sebulan akibat buah kelapa sawit lambat dikutip berikutan ketiadaan pekerja mahir.

Pengerusinya Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, agensi itu terpaksa menanggung kerugian disebabkan permohonan untuk mendapatkan lebih 4,000 buruh asing untuk bekerja di lebih 400,000 hektar ladang sawit miliknya tidak diluluskan.

Menurut beliau, keputusan mengenai pengambilan pekerja asing terpaksa dilakukan kerana masyarakat negara ini tidak menunjukkan minat untuk bekerja dalam sektor perladangan.

“Saya minta buruh asing dibenarkan, kita (RISDA) tanam tiga tahun setengah untuk pokok kelapa sawit berbuah tetapi bila sampai masanya, rugi RM5 juta sebulan sebab dua hari lambat dikutip kerana tiada pekerja.

“Saya minta pihak berkaitan tolong semak semula keperluan, di bandar khususnya di pusat beli-belah boleh pula ada buruh asing bekerja sebagai juruwang, kenapa tidak bagi peluang pekerjaan itu pada orang kita, bidang-bidang lain yang lebih memerlukan ditangguhkan pula permohonan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Amalan Pertanian Baik kepada pekebun kecil di Selangor di sini, semalam.

Pada masa sama, Zahidi berkata, RISDA sedang berusaha meningkatkan pendapatan pekebun kecil menerusi penanaman herba dikenali sebagai Guarana selepas berjaya membawa benihnya yang dibeli dari Brazil.

Katanya, pihaknya menjangkakan tanaman itu mampu memberi hasil lumayan dan memberi pendapatan sampingan kepada pekebun kecil yang selama ini hanya bergantung kepada hasil sawit atau getah.

“Saya sendiri pergi Brazil dan beli, bukan senang mereka mahu jual benih kepada kita, sebab apabila kita tanam, kita akan jadi pengeluar Guarana terbesar di dunia.

“Tetapi sekarang ini untuk bawa masuk, RISDA hadapi masalah dengan Kementerian Pertanian dan kita akan cuba yakinkan mereka mengenai manfaat pokok ini,” katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2017 @ 5:03am
d