mutakhir

Perkasa anak kampung

Oleh Fazurawati Che Lah

Kuala Lumpur: Prihatin dengan pendidikan anak-anak kurang berkemampuan di luar bandar, Badan Amal Kasih Sayang Malaysia (BAKASA) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM) membangunkan pusat Centre of Innovation Tengku Ampuan Afzan (CINTAA) bagi melahirkan generasi yang celik inovasi.

CINTAA yang berpusat di Raub, Pahang bakal memulakan operasi Mac nanti mengguna pakai modul Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memperluaskan pendidikan dalam kalangan anak kampung.

Yang Dipertua BAKASA Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah berkata, melalui CINTAA pihaknya bersama UteM dapat memupuk budaya berinovasi dalam kalangan pelajar miskin terutama di luar bandar yang tercicir dalam bidang itu.

“Bagi projek CINTAA, UteM akan membantu BAKASA daripada aspek pembangunan modul pengajaran, pemberian latihan dan penyeliaan.

“Untuk permulaan 40 pelajar dari Rumah Kanak-kanak Tengku Ampuan Afzan (RUKTAA) menyertai program ini yang bakal dikendalikan lima pensyarah UteM,” katanya pada Majlis Memorandum Persetujuan (MoA) BAKASA dan UteM, di sini, semalam.

MoA itu ditandatangani Muhaini dan Naib Canselor UteM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib. Turut hadir Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik UteM, Ir Dr Md Nazri Othman.

Muhaini berkata, MoA itu bagi tempoh dua tahun dan BAKASA melaksanakan pembayaran dan menyediakan tempat latihan.

Menurut beliau, 1,000 pelajar disasarkan mengikuti CINTAA dalam dua tahun.

“Saya harap usaha ini dapat membantu mengenal pasti anak pintar dalam persekitaran STEM.

“Lebih penting dapat mengenali keperluan pendidikan mereka dengan lebih awal untuk mengelak kehilangan generasi yang bakal melonjakkan ekonomi negara pada masa akan datang,” katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2017 @ 5:04am
d