mutakhir

Kerjasama tarik lebih ramai sukarelawan

Kuala Terengganu: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan bekerjasama dengan organisasi dan persatuan dalam usaha menarik lebih ramai anggota sukarelawan terutama belia dalam kalangan bukan Bumiputera.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya APM Timbalan Pesuruhjaya Kehormat (PA) Roslan Wahab berkata, penyertaan kaum bukan Bumiputera masih rendah iaitu hanya lima peratus daripada 1.2 juta sukarelawan yang aktif ketika ini.

Beliau berkata, agak sukar untuk menarik golongan bukan Bumiputera untuk menyertai APM secara sendiri yang mana pihaknya perlu bekerjasama dengan organisasi dan persatuan terlebih dulu.

“Berdasarkan pengalaman lalu, kita akan berjumpa dan menerangkan kepada pengurusan terlebih dulu sebelum mereka ini tertarik untuk menyertai APM.

“Sebelum ini, kita pernah bekerjasama dengan MCA dan Persatuan Buddhist di Selangor yang mana ia berjaya membuatkan golongan berkenaan berminat menjadi sebahagian daripada APM.

“Selain itu, kita ada pegawai yang terdiri orang bukan Melayu yang akan memainkan peranan menerangkan mengenai agensi ini kerana biasanya mereka ini kurang memahami fungsi APM dan menyangka apabila beruniform itu adalah anggota tetap,” katanya ketika ditemui selepas majlis Pentauliahan Pasukan Institusi Pertahanan Awam Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (PISPA ILKKM) Kali Ke-2 Peringkat Zon Pantai Timur 2017 di Wisma Darul Iman, di sini, kelmarin.

Disiarkan pada: February 16, 2017 @ 5:06am
d