mutakhir

Madu bunga tiruan

Oleh Nur Ain Musdad

Alor Gajah: Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka, Ayer Keroh, di sini, menghasilkan nektar tiruan bagi menggantikan nektar bunga asli yang boleh membantu memanjangkan jangka hayat seekor rama-rama sehingga 28 hari.

Pengarah Urusannya Gerard Wong berkata, pihaknya mengambil masa 10 tahun untuk mengkaji dan menghasilkan nektar tiruan berkenaan.

Gerard berkata, penggunaan nektar tiruan itu mampu mengurangkan kebergantungan rama-rama kepada bunga hidup untuk mendapatkan bekalan makanan dalam jumlah mencukupi.

“Seekor rama-rama dewasa memerlukan 20 kuntum bunga raya bagi mendapatkan bekalan nektar mencukupi sebagai bekalan makanan. Proses itu dilakukan awal pagi sewaktu nektar bunga terhasil.

“Apabila nektar dihisap, bunga akan menjadi lemah dan akhirnya layu. Ia menyebabkan rama-rama lain tidak mempunyai peluang untuk mendapatkan nektar mencukupi dan akhirnya mati dalam tempoh empat atau lima hari sahaja,” katanya.

Beliau berkata, bagi menangani masalah kekurangan bunga, beliau bersama 15 kakitangan melakukan kajian secara berperingkat dalam usaha menghasilkan nektar tiruan.

Menurutnya, selepas beberapa kali gagal, mereka akhirnya lega kerana menemui formula sesuai yang dihasilkan daripada manisan tumbuhan.

“Kami tempatkan 15 bekas dengan setiap satu dilengkapi tujuh tiub mengandungi nektar tiruan di sekitar taman ini.

“Cecair itu akan segera ditambah jika sudah menyusut bagi memastikan rama-rama mendapat bekalan nektar mencukupi,” katanya.

Gerard berkata, nektar tiruan berkenaan adalah yang terbaik pernah dihasilkan selain disukai semua rama-rama termasuk jenis Tree Nymph atau nama sintifiknya Idea Lynceus iaitu antara rama-rama terbesar dunia.

Disiarkan pada: February 16, 2017 @ 5:08am
d